Ibu bapa ke mahkamah bantah projek 46 tingkat sebelah sekolah KL

Ibu bapa ke mahkamah bantah projek 46 tingkat sebelah sekolah KL

Ibu bapa bimbang melihat video di media sosial menunjukkan kren beroperasi berdekatan sekolah itu.

Gambar diambil ibu bapa menunjukkan projek bangunan pejabat 46 tingkat yang dirancang bersebelahan The International School @ ParkCity di Desa ParkCity, Kuala Lumpur.
PETALING JAYA:
Sekumpulan ibu bapa bercadang memfailkan semakan kehakiman terhadap sebuah projek bangunan 46 tingkat yang dirancang bersebelahan The International School @ ParkCity di Desa ParkCity, Kuala Lumpur.

Seorang ibu hanya mahu dikenali Lee berkata, banyak rayuan dikemukakan kepada pemaju hartanah Perdana ParkCity supaya mempertimbangkan semula projek itu tidak dihiraukan.

“Kami bercadang memfailkan semakan kehakiman dan akan meminta kerja pembinaan dihentikan sementara menunggu penyelesaian kes,” katanya kepada FMT.

Lee mendakwa projek itu pada mulanya dirancang di lokasi lain, tetapi dipindahkan ke tanah kosong bersebelahan sekolah terbabit dan pengumuman semasa mesyuarat ibu bapa suku tahunan pada Januari lalu mencetuskan kekecohan.

Pembinaan ParkCity Tower, bangunan pejabat 46 tingkat, dijadualkan bermula tahun ini dan siap menjelang 2029.

Lee berkata, pembinaan itu belum dimulakan, tetapi sebuah kren tinggi dibawa masuk 28 April lalu untuk menjalankan kerja-kerja tanah dekat padang sekolah terbabit menyebabkan ramai kanak-kanak dan ibu bapa panik.

Menurutnya, kren itu sudah meninggalkan tapak berkenaan, tetapi ibu bapa tetap tidak senang selepas melihat video di media sosial menunjukkan ia beroperasi berdekatan sekolah.

Jawatankuasa ibu bapa yang lantang menyuarakan isu itu menerima notis undang-undang daripada pemaju yang memberi amaran kepada mereka supaya tidak membantah projek berkenaan.

Seorang ibu berusia 42 tahun hanya mahu dikenali Chia berkata, beliau mungkin mengeluarkan anaknya dari sekolah itu jika isu keselamatan berterusan.

“Ia kebimbangan utama, khasnya melihat betapa dekatnya kren itu dengan padang sekolah, tempat kanak-kanak bermain dan berlari dengan bebas,” katanya kepada FMT.

Seorang lagi ibu dan penduduk Desa ParkCity turut bimbang dengan keselamatan anaknya.

“Baru setahun bangunan baharu sekolah rendah itu dirasmikan, sekarang mereka beritahu kami sebuah menara tinggi akan dibina bersebelahannya.”

Katanya, Desa ParkCity perbandaran kecil dan ramai pelajar berbasikal ke sekolah, termasuk anaknya. Kehadiran jentera pembinaan berat di jalan sekitar menimbulkan risiko keselamatan.

Beliau meminta penilaian sewajarnya ke atas potensi kesan pembangunan itu kepada masyarakat kerana projek berkenaan akan menyebabkan kesesakan lalu lintas dan menjejaskan hospital di seberang jalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.