
Bercakap kepada FMT, peguam Oh, Chai Ko Thing berkata rayuan difailkan pada 21 Mei untuk mencabar penghakiman manakala permohonan penangguhan pelaksanaan difailkan keesokan harinya sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.
Pada 7 Mei lalu, Hakim Kenneth St James mengarahkan Oh membayar ganti rugi RM550,000 selepas beliau didapati membuat tuduhan palsu berkait dakwaan Lim membantu penganjur konsert mendapatkan pengecualian cukai.
Kenneth memutuskan Oh telah memfitnah Lim dalam satu sidang media pada 25 Sept 2019 dan melalui satu siaran media dihantar menggunakan alamat e-mel rasmi Gerakan Pulau Pinang.
Kenyataan itu kemudian disiarkan akhbar China Press yang turut didapati bersalah.
Oh didakwa mempersoalkan mengapa Lim yang ketika itu menteri kewangan memberikan pengecualian cukai kepada WGW Entertainment Sdn Bhd dan pemiliknya, Hendrik Huang untuk sebuah konsert Mandopop di Spice Arena.
Hakim mendapati Oh tidak mempunyai asas dalam dakwaannya dan tidak mengemukakan sebarang bukti bahawa Lim mengenali Huang atau telah memberikan sebarang keistimewaan cukai.
Walaupun kenyataan Oh disampaikan dalam bentuk persoalan, mahkamah mendapatinya bersifat fitnah dan tidak layak dianggap sebagai komen adil.
Mahkamah turut memerintahkan Oh menerbitkan permohonan maaf tanpa syarat kepada Lim dalam versi dalam talian dan cetakan di China Press.
Beliau juga dilarang daripada mengulangi dakwaan itu.
China Press pula diperintahkan membayar RM150,000 sebagai ganti rugi, RM80,000 sebagai kos dan faedah pada kadar 5% setahun.