YKM ziarah kasih penerima bantuan sempena Pesta Kaamatan

YKM ziarah kasih penerima bantuan sempena Pesta Kaamatan

Pengerusi YKM Ismail Sabri Yaakob berkata ia adalah amalan yayasan itu setiap musim perayaan penting disambut Keluarga Malaysia termasuk di Borneo.

yayasan keluarga malaysia
Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia Ismail Sabri Yaakob menyantuni penerima bantuan yang akan menyambut Pesta Kaamatan.
PETALING JAYA:
Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) menyantuni keluarga kurang berkemampuan yang juga penerima bantuan yayasan itu sempena Pesta Kaamatan di Sabah.

Pengerusi YKM, Ismail Sabri Yaakob, berkata ia adalah amalan dan tradisi digerakkan yayasan itu setiap musim perayaan penting disambut Keluarga Malaysia termasuk mereka yang menetap di Borneo.

Katanya, penerima YKM berada di seluruh negara termasuk di Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Setiap kali musim perayaan penting, YKM akan mengadakan ziarah kasih dan menghulurkan sumbangan bagi memastikan setiap penerima dapat menyambutnya dengan kegembiraan bersama seluruh ahli keluarga.

“Ziarah kasih hari ini juga membuktikan komitmen berterusan YKM yang bersifat inklusif, tanpa ada mana-mana keluarga yang terkesan akibat Covid-19 terpinggir atau tertinggal daripada menerima bantuan,” katanya dalam kenyataan.

Antara penerima bantuan YKM yang menyambut Pesta Kaamatan adalah Arvina Chris Nolvi di Kampung Kilirip Kinarut, Papar, bersama empat anaknya yang masih bersekolah.

Arvina yang tiada pendapatan tetap kehilangan suami, Henry Bisara akibat Covid-19 pada 15 Feb 2022 dan suri rumah itu hanya mengharapkan bantuan bulanan YKM bagi mengharungi kehidupan membesarkan anak bawah tanggungannya.

YKM turut melawat keluarga Husidah Ahali yang kehilangan suami akibat Covid-19. Wanita menetap di Kampung Pomotodon Inanam, Kota Kinabalu, itu menyara empat anak dengan sumber pendapatan RM400 sebulan hasil jualan kuih-muih.

Ziarah kasih di Sabah diakhiri dengan mengunjungi keluarga Maslinah Abdul Manaf dari Kampung Inanam Laut, Kota Kinabalu, yang turut kehilangan suami akibat Covid-19 pada 15 Ogos 2021.

Maslinah yang juga peniaga dalam talian menggunakan platform itu sebagai salah satu sumber pendapatan selain bantuan YKM untuk meneruskan kehidupan.

Selain itu, YKM turut menyalurkan bantuan perayaan kepada 14 penerima sempena Hari Gawai.

Ismail juga berharap setiap pihak termasuk komuniti setempat terutama di kawasan pedalaman membantu menyampaikan maklumat mengenai bantuan kepada golongan terkesan akibat Covid-19 dan menghubungi YKM melalui emel [email protected] atau hubungi talian 03 22027493.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.