
Dalam ucapan penggulungannya di Kongres Nasional PKR hari ini, beliau yang juga menteri kewangan berkata cadangan itu tidak seharusnya ditolak mentah-mentah.
“Jika kita laksanakan ini, mungkin kita mulakan dengan T5, golongan maha kaya.
“Kumpulan ini tidak akan menyuarakan rungutan mereka sendiri. Sebaliknya, mereka akan meminta dua atau tiga Ahli Parlimen bersuara bagi pihak mereka,” katanya tanpa menamakan mana-mana individu secara khusus.
Beliau berkata warga asing akan terus dikecualikan daripada menerima manfaat subsidi bersasar bagi RON95 dan pembeli mungkin menunjukkan MyKad atau diperkenalkan mekanisme lain.
“Tiada negara di dunia memberikan subsidi kepada warga asing. Dan di mana lagi kita lihat subsidi minyak untuk pemilik Rolls-Royce?
“Ramai Ahli Parlimen pembangkang akhirnya menjadi jurucakap kepada golongan maha kaya, mereka yang memiliki Rolls-Royce, kemudian mereka minta pula Ahli Parlimen PAS mempertahankan mereka,” katanya.
Pada Disember lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan akan mengumumkan klasifikasi pendapatan tinggi T15, yang akan mengenal pasti mereka yang akan dikecualikan daripada subsidi bersasar, selewat-lewatnya suku pertama tahun 2025.
Isnin lalu, beliau dipetik berkata keputusan mengenai pelan rasionalisasi subsidi RON95 telah diserahkan kepada Kementerian Kewangan susulan keputusan Jemaah Menteri.
Beliau berkata, kementeriannya telah berbincang dengan Jemaah Menteri sebanyak empat kali berhubung perkara ini dan kini menunggu perkembangan lanjut daripada Kementerian Kewangan.