
Syahruddin Awang Ahmad juga berpandangan deklarasi terbabit itu turut menyerlahkan peranan Malaysia memimpin komuniti serantau ke arah masa depan lebih strategik, bukan sahaja dari segi ekonomi malah dalam konteks keselamatan digital, pembangunan lestari dan keseimbangan geopolitik.
Menurutnya, deklarasi itu bakal menjadi platform utama bagi Malaysia dan negara anggota menyuarakan kepentingan negara membangun di peringkat antarabangsa secara kolektif dan berprinsip.
“Deklarasi ini membolehkan Malaysia menyatakan pendirian bersama Asean dalam isu global seperti perubahan iklim, sekatan ekonomi unilateral dan pembangunan lestari.
“Ia juga menjadi asas menunjukkan negara-negara serantau tidak tunduk kepada tekanan kuasa besar,” kata ahli akademik Universiti Malaysia Sabah itu yang mempunyai kepakaran dalam perang saraf dan perhubungan awam.
Rabu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Deklarasi KL bakal diperkenalkan pada Sidang Kemuncak Asean ke-46 berlangsung 26 hingga 27 Mei bakal menjadi rujukan utama hala tuju masa depan rantau ini.

Tambah Syahruddin, Malaysia juga mampu memperluaskan jaringan pengaruh dengan penyelarasan pendekatan bersama kelompok seperti Kumpulan 77 (negara-negara membangun dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan China.
Namun, beliau mengingatkan Deklarasi KL perlu mengandungi komitmen jelas terhadap prinsip berkecuali, menghormati kedaulatan wilayah dan menolak campur tangan asing selari semangat dasar aman, bebas dan berkecuali negara anggota ASEAN (ZOPFAN) serta Triti Keamanan dan Kerjasama ASEAN (TAC).
“Prinsip penyelesaian pertikaian secara aman perlu terus ditegaskan. Ini bukan sekadar simbolik, tetapi satu mesej tegas bahawa Asean tidak boleh dijadikan medan pengaruh kuasa luar yang bersaing,” katanya.
Asean penggerak utama isu global
Geostrategis dari Akademi Nusantara Azmi Hassan pula menyifatkan deklarasi itu penting dalam memperkukuh konsep ‘centrality’ Asean, menjadikan rantau ini bukan sekadar sebagai pemerhati, tetapi penggerak utama dalam isu-isu global.
Beliau berkata tidak seperti deklarasi sebelum ini termasuk Deklarasi KL dan Langkawi 2015 yang lebih bersifat dalaman, versi 2025 menunjukkan perubahan ketara ke arah peranan luar Asean yang lebih menyeluruh dan berani, dipimpin oleh Malaysia.
Deklarasi KL turut dilihat sebagai refleksi kepada kepimpinan Anwar yang bertekad menjadikan Asean lebih berdikari dan dihormati, bukan sahaja dalam isu serantau, tetapi juga sebagai suara damai dalam konflik global, katanya.
“Kita dapat lihat, apabila perdana menteri menawarkan diri sebagai pengantara konflik India- Pakistan baru-baru ini, ia dilakukan atas kapasiti sebagai pengerusi Asean.

“Begitu juga dengan peranan Malaysia dalam isu selatan Thailand dan konflik Bangsamoro di selatan Filipina – ini bukti keupayaan sebenar Asean jika diterajui dengan visi yang jelas,” kata Azmi.
Azmi yang menjangkakan Deklarasi KL menyentuh konflik antarabangsa seperti krisis Gaza, perang di Ukraine, serta ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China – sebagai isyarat Asean sedia menjadi suara alternatif rasional dan seimbang dalam dunia multipolar hari ini.
Produk diplomasi Asean
Dari sudut komunikasi strategik, Syahruddin berkata deklarasi itu juga boleh disifatkan ‘produk diplomasi’ membentuk persepsi global terhadap Asean sebagai sebuah komuniti matang, bukan
hanya mementingkan pertumbuhan ekonomi, tetapi mengutamakan nilai kemanusiaan, keadilan dan keselamatan bersama.
“Malaysia bijak menggunakan dokumen ini sebagai wadah untuk menjenamakan Asean – bukan sekadar wilayah perdagangan, tetapi juga pelaku aktif dalam perbincangan global yang lebih besar. Ini penting bagi meningkatkan kredibiliti dan kepercayaan dunia terhadap Asean,” jelas Syahruddin.
Syahruddin dan Azmi berkata antara elemen dijangka dimuatkan dalam Deklarasi KL termasuk inisiatif transformasi digital serantau, perkongsian maklumat keselamatan rentas sempadan, peningkatan kerjasama dalam ekonomi hijau dan pembaharuan institusi Asean agar lebih tangkas dalam membuat keputusan.
“Ia juga dijangka mengukuhkan prinsip tadbir urus digital serantau yang beretika dan berasaskan hak asasi, sebagai respon terhadap ancaman siber, penyebaran maklumat palsu dan ketidaksamaan digital antara negara anggota Asean,” kata Syahruddin.
Sidang Kemuncak Asean ke-46 di Kuala Lumpur itu dijangka menghimpunkan semua pemimpin tertinggi 10 negara anggota serta pemerhati antarabangsa.