
Data dikeluarkan Pesuruhjaya eSafety kerajaan, menunjukkan syarikat media sosial menyekat akses kepada kira-kira 4.7 juta akaun dikenal pasti sebagai milik kanak-kanak bawah 16 tahun dalam tempoh beberapa hari selepas larangan itu berkuat kuasa, pada 10 Dis lalu.
Perdana Menteri Anthony Albanese, berkata perkembangan awal itu menggalakkan apabila syarikat media sosial mengambil ‘usaha bermakna’ untuk mematuhi larangan berkenaan.
“Perubahan tidak berlaku sekelip mata. Tetapi, tanda-tanda awal ini menunjukkan bahawa penting untuk kami mengambil tindakan untuk melaksanakan perubahan ini,” katanya.
Dalam kenyataan, Pesuruhjaya eSafety Julie Inman Grant, berkata beliau ‘sangat berpuas hati’ dengan keputusan awal itu, namun mengakui terdapat laporan sebahagian akaun milik kanak-kanak di bawah had umur masih kekal aktif.
Kerajaan tidak mendedahkan jumlah akaun dinyahaktifkan setiap 10 platform terlibat dalam larangan itu, termasuk TikTok, X, dan YouTube.
Pada Isnin, Meta mengumumkan menyahaktifkan lebih 544,000 akaun di platform Facebook, Instagram, dan Threads, setakat 11 Dis lalu.
Di bawah undang-undang diluluskan Parlimen Australia pada 2024, syarikat media sosial yang gagal mengambil langkah munasabah untuk menguatkuasakan larangan itu boleh dikenakan denda sehingga AUD49.5 juta (kira-kira USD33.17 juta).