
Chong, yang juga pengerusi DAP negeri, berkata sebagai parti pembangkang Sarawak – berkata Sarawak mempunyai kelebihan berunding dengan kerajaan persekutuan mengambil kira perpecahan politik di Semenanjung, lapor Borneo Post.
Berucap dalam sidang DUN, beliau juga menyebut keterbukaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memenuhi permintaan Sarawak.
“Saya tidak menyokong pertembungan antara Petronas dan Petros – ia adalah ‘zero-sum game’,” katanya merujuk agregator tunggal gas Sarawak.
“Mengapa tidak berunding dan menuntut penyertaan 30%?” soal Adun Padungan itu.
Dalam sidang media selepas itu, Chong berkata beliau mencadangkan angka 30% kerana sebahagian besar pengeluaran gas datang dari Sarawak.
Katanya, sebaik kerajaan negeri memegang ekuiti dalam Petronas, ‘tiada sesiapa pun boleh mengambilnya’.
“Apabila mereka umum dividen, mereka kena isytihar anda (Sarawak) sebagai pemegang saham.”
Namun, Adun Gabungan Parti Sarawak Lo Khere Chiang, mempersoalkan kebolehlaksanaan permintaan Chong itu, dengan menyatakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini gagal menunaikan janji 20% royalti minyak dan gas untuk Sarawak.
“Apa yang buat anda fikir kita mampu dapat penyertaan ekuiti 30%?” kata Adun Batu Kitang itu.
Gesaan Chong dibuat dua hari selepas kerajaan persekutuan dan kerajaan Sarawak mempertegaskan peranan Petronas dan syarikat milik Sarawak, Petros, dalam pembangunan industri minyak dan gas negeri.
Anwar, dalam kenyataan bersama Premier Sarawak Abang Johari Openg, berkata pembangunan berterusan Petronas dan Petros adalah penting demi kemajuan Malaysia dan Sarawak.
Anwar juga berkata, kenyataan bersama itu mengiktiraf keupayaan Sarawak yang semakin meningkat dan haknya di bawah Akta Kemajuan Petroleum dan Ordinan Pengagihan Gas, sambil mengekalkan peranan strategik Petronas di peringkat nasional.