Polis siasat video tular promosi lumba basikal lajak

Polis siasat video tular promosi lumba basikal lajak

Ketua Polis Petaling Jaya Shahrulnizam Ja’afar berkata pihaknya mengesan satu video berdurasi 29 saat di TikTok yang mempromosikan acara itu.

basikal lajak
Menurut polis, kertas siasatan telah dibuka susulan laporan berhubung penganjuran lumba basikal lajak yang dipercayai diadakan di Damansara Damai esok. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis menyiasat satu video tular yang mempromosikan perlumbaan basikal lajak dipercayai akan diadakan di Damansara Damai, Petaling Jaya, esok.

Ketua Polis Petaling Jaya, Shahrulnizam Ja’afar, berkata pihaknya mengesan satu video berdurasi 29 saat yang mempromosikan perlumbaan itu di laman sosial TikTok, pada 4.30 petang semalam.

“Siasatan mendapati video itu memaparkan aksi sekumpulan remaja menunggang basikal lajak di jalan raya berserta maklumat berkaitan penganjuran perlumbaan berkenaan.

“Susulan itu, satu laporan polis dibuat berhubung perkara ini dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 81 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrulnizam turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penganjuran perlumbaan itu supaya menghubungi balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2222.

Beliau berkata polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang dan mengingatkan semua pihak supaya sentiasa mematuhinya bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.