Lelaki didenda RM3,000 kerana komen lucah terhadap bayi Dr Amalina

Lelaki didenda RM3,000 kerana komen lucah terhadap bayi Dr Amalina

Ahmad Nasir Kadiri merayu dikenakan hukuman ringan dengan alasan tidak berkemampuan dan sudah insaf.

Ahmad Nasir Kadiri mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang atas tuduhan membuat komen lucah di Facebook tiga tahun lalu. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Seorang pemungut buah kelapa sawit didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah membuat komunikasi jelik mengenai bayi perempuan pakar bedah, Dr Amalina Che Bakri di Facebook tiga tahun lalu.

Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman itu selepas mendengar rayuan tertuduh, Ahmad Nasir Kadiri, 57, yang tidak diwakili peguam dan hujahan pihak pendakwaan.

Fuad juga memerintahkan Nazir dihukum penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara yang boleh sampai setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Nasir merayu dikenakan hukuman ringan dengan alasan tidak berkemampuan, ada masalah kesihatan dan sudah insaf dengan perbuatan itu.

Katanya, dia seorang yang bankrap dan bekerja sebagai pemungut buah kelapa sawit serta besi buruk.

“Saya mengaku bersalah dan saya merayu hukuman diringankan kerana saya tidak mempunyai pendapatan tetap. Ini kesalahan pertama saya, saya menyesal, bertaubat dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pencegahan dan pengajaran agar tertuduh dan orang ramai tidak sewenang-wenangnya menggunakan media sosial sebagai satu platform untuk menyatakan perkara lucah.

Mengikut fakta kes, lelaki itu didakwa membuat dan memulakan komen lucah di aplikasi Facebook atas nama ‘Bro Nasir’ pada 15 Dis 2022.

Amalina, doktor yang bertugas di United Kingdom, membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia lapan hari kemudian.

Pihak berkuasa kemudiannya menyerbu rumah tertuduh di Kampung Bukit Changgang di Banting, Selangor, dan merampas telefon bimbit dan kad SIM.

Terdahulu, mahkamah terpaksa berehat sebentar selepas tertuduh mengadu pening kepala ketika tuduhan dibacakan terhadapnya.

Tertuduh dilihat menggunakan alat sedut dan mengurut dada sebelum memaklumkan kepada mahkamah dia cergas untuk meneruskan prosiding.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.