
Perunding kanak-kanak dan aktivis, Dr Amar-Singh HSS, berkata Talian Kasih 15999 yang diwujudkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak begitu berkesan memandangkan skop perkhidmatannya ‘terlalu luas’.
“Ia tidak dikhususkan untuk kanak-kanak. Terdapat jumlah panggilan yang banyak dan kakitangan mungkin kurang kepakaran dalam membantu kanak-kanak.
“Kita memerlukan talian bantuan khusus kepada kanak-kanak yang dikendalikan pertubuhan masyarakat sivil (CSO),” katanya kepada FMT sambil menambah CSO mempunyai kepakaran, kemahiran dan pengalaman dalam isu perlindungan kanak-kanak.
Beliau turut mencadangkan penambahbaikan dari segi undang-undang seperti Akta Kanak-kanak 2001 dengan mewujudkan peruntukan mewajibkan setiap orang memaklumkan kes penderaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tanpa mengira status atau hubungan dengan mangsa.
“Jika gagal berbuat demikian, maka individu terbabit akan dikenakan hukuman,” katanya.
Menurutnya, JKM juga perlu dilengkapi kakitangan mencukupi dan terlatih secara profesional untuk melindungi kanak-kanak, dengan anggaran ia memerlukan pekerja sosial terlatih 30,000 hingga 40,000 orang.
“Ada di antara mereka tidak tahu sepenuhnya peraturan berkaitan perlindungan kanak-kanak serta tanggungjawab mereka. Maka, adalah wajar untuk kerajaan meluluskan dan melaksanakan Akta Profesion Kerja Sosial dengan segera dalam hal ini.”
Pada 15 Mei lalu, Ketua Pengarah JKM, Che Murad Sayang Ramjan, dilaporkan berkata kes pengabaian kanak-kanak mencapai tahap membimbangkan dengan peningkatan hampir tiga kali ganda dalam tempoh lima tahun lalu.
Rekod JKM menunjukkan 1,618 kes pengabaian kanak-kanak pada 2020 meningkat kepada 4,126 kes tahun lalu.
Sepanjang tempoh itu, sebanyak 31,247 kes perlindungan dan pemeliharaan kanak-kanak termasuk pengabaian, dengan lebih 64% mangsa terdiri daripada perempuan, manakala 9,365 kes penderaan seksual direkodkan dengan tertinggi pada 2023 sebanyak 2,523 kes.
Pakar psikologi, Fauziah Mohd Saad dari Universiti Pendidikan Sultan Idris pula berkata, pengabaian boleh meninggalkan kesan jangka panjang serius kepada kanak-kanak, antaranya masalah kesihatan mental dan mereka mungkin terjebak aktiviti jenayah.
“Masalah seperti kemurungan dan gangguan tingkah laku kini muncul pada usia semakin muda,” katanya sambil menambah intervensi awal penting untuk mengesan kelewatan perkembangan dalam kanak-kanak dan memberikan bantuan segera.
“Perlu ada saringan berkala di klinik kesihatan, tadika atau sekolah dalam membantu mengenal pasti kanak-kanak yang memerlukan perhatian khusus.”