SPRM buka 8 kertas siasatan berkait aset bernilai tinggi Daim, ahli keluarga

SPRM buka 8 kertas siasatan berkait aset bernilai tinggi Daim, ahli keluarga

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata siasatan baharu itu berdasarkan maklumat baharu diperoleh dari luar negara.

daim
Bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin meninggal dunia pada 13 November. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka lapan kertas siasatan baharu yang berkaitan dengan aset milik Daim Zainuddin, ahli keluarganya serta seorang sepupunya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata siasatan itu dijalankan susulan maklumat baharu yang diterima dari luar negara.

“Kesemua siasatan baharu ini melibatkan dakwaan pemilikan aset bernilai tinggi oleh Daim, ahli keluarganya dan seorang sepupunya yang tidak diisytiharkan kepada SPRM,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata penemuan itu hasil siasatan dijalankan pada 2023 dan kegagalan mengisytiharkan aset satu kesalahan di sisi undang-undang.

Azam turut mengesahkan walaupun Daim telah meninggal dunia pada November lalu, SPRM tetap akan meneruskan cadangan untuk melucut hak aset-aset tersebut.

“Walaupun Daim telah tiada, kita akan tetap mencadangkan pelucuthakan aset kepada kerajaan.

“Terserah kepada timbalan pendakwa raya untuk bersetuju atau tidak,” katanya.

Pada Januari tahun lalu, Daim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan gagal mematuhi syarat notis perisytiharan aset dikeluarkan SPRM.

Beliau dituduh gagal mengisytiharkan pemilikan dalam 38 syarikat, 19 bidang tanah di Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah dan Kuala Lumpur, serta enam hartanah.

Daim didakwa gagal mengisytiharkan pemilikan akaun di Amanah Saham Nasional Berhad dan Amanah Saham Nasional, serta tujuh kenderaan mewah.

SPRM menyatakan Daim telah memohon lanjutan tarikh akhir perisytiharan aset sebanyak lima kali, namun masih gagal membuat pengisytiharan itu.

Isterinya, Naimah Khalid, turut berdepan dengan pertuduhan berkaitan perisytiharan aset. Beliau dituduh gagal mengisytiharkan pemilikan dalam beberapa syarikat, beberapa bidang tanah di sini dan di Pulau Pinang, serta dua buah kenderaan.

Selepas kematian Daim pada 13 November tahun lalu, pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadapnya dan mahkamah mengeluarkan perintah melepaskan dan membebaskannya.

Namun begitu, agensi antirasuah itu menyatakan bahawa siasatan di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram akan tetap diteruskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.