Polis tahan wanita disyaki terlibat simbah asid pengusaha spa

Polis tahan wanita disyaki terlibat simbah asid pengusaha spa

Dalam kejadian di Bachok Sabtu lalu, mangsa berusia 27 tahun cedera parah disimbah asid tiga individu.

Yusoff Mamat
Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek wanita berusia 38 tahun itu ditahan di hadapan sebuah kilang getah di Kuala Krai, petang semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kejadian seorang pengusaha spa cedera parah akibat disimbah asid di Bachok, Kelantan, Sabtu lalu.

Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek berusia 38 tahun ditahan di hadapan sebuah kilang getah di Kuala Krai, 4 petang semalam.

Katanya, tangkapan dibuat dalam satu operasi bersepadu disertai beberapa anggota Bahagian Siasatan Khas IPK Kelantan dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bachok.

“Suspek bekerja di sebuah kilang getah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Polis turut merampas sebuah Perodua Myvi, telefon bimbit dan alat kawalan kenderaan,” katanya dalam kenyataan menurut Harian Metro.

Katanya, polis akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Bachok pagi ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Yusoff juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi IPD Bachok atau mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam kejadian Sabtu lalu, seorang wanita berusia 27 tahun yang juga pemilik spa cedera parah selepas disimbah asid oleh tiga individu di premis miliknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.