Menang atau kalah, Rafizi tetap sahabat, kata Izzah

Menang atau kalah, Rafizi tetap sahabat, kata Izzah

Calon timbalan presiden, Nurul Izzah Anwar beri peringatan ketika berucap dalam acara kempen terakhir, bersama ahli PKR.

Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli bertembung untuk jawatan timbalan presiden PKR pada pemilihan kali ini. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Calon timbalan presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berkata Rafizi Ramli tetap sahabat tidak kira menang atau kalah pada pemilihan parti peringkat pusat kali ini.

Beliau beri peringatan itu ketika berucap dalam acara kempen terakhir, iaitu sesi temu rapat bersama ahli PKR.

“Menang atau kalah tidak beri impak persahabatan kita jalin selama ini,” katanya.

“Rafizi sahabat saya bukan sahaja dulu… sekarang dan sampai bila-bila. Saya nak ingatkan.”

Izzah mencabar Rafizi untuk merebut jawatan timbalan presiden pada pemilihan kali ini.

Kempen Rafizi menyaksikan beliau tidak menyerang Izzah secara langsung, namun berkias untuk berkata keputusan perwakilan kelak mungkin akan beri kesan pada parti dan presidennya, Anwar Ibrahim.

Menurutnya, orang akan tuduh PKR mengamalkan nepotisme sekiranya Izzah menang, atau dakwa parti sudah menolak Anwar kalau Izzah kalah.

Dalam pada itu, Izzah berkata beliau tetap akan meneruskan program menyantuni akar umbi tanpa mengira keputusan pemilihan.

Beliau juga berkata untuk menjadi pemimpin harus membuang ego sendiri sebelum mengajak pimpinan lain dalam parti melakukan perkara sama.

“Saya nak beri peringatan kepada semua. Mungkin berbeza cara, berbeza mekanisme, tetapi tolong nak jadi pemimpin maksudnya perkara pertama perlu buang ego kamu sendiri.

“Itu juga merupakan cabaran kepada saya. Kalau nak orang lain buat, kita kena buat terlebih dahulu,” katanya.

Izzah turut mengingatkan rakyat tidak kisah dengan masalah yang dihadapi dalam PKR tetapi sebaliknya mereka mahu parti menyelesaikan ‘rumah tangga’ sendiri.

“Tugas utama kita cari penyelesaian rakyat dan jangan ambil mudah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.