Gagal bendung ketirisan subsidi berisiko jadi liabiliti, kata ahli ekonomi

Gagal bendung ketirisan subsidi berisiko jadi liabiliti, kata ahli ekonomi

Goh Lim Thye berkata tanpa pembaharuan subsidi berisiko menjadi liabiliti fiskal yang sudah sebati dalam politik dan bukannya alat untuk pembangunan adil.

shopping hypermarket
Ahli ekonomi berkata ketirisan subsidi memburukkan kepercayaan awam terutama apabila penerima tidak layak mendapat manfaat daripada subsidi kerajaan.
PETALING JAYA:
Ketirisan subsidi memberi kesan buruk terhadap kecekapan ekonomi dan disiplin fiskal yang jika tidak dikawal boleh mengakibatkan liabiliti besar, kata ahli ekonomi.

Goh Lim Thye dari Universiti Malaya berkata, kesan jangka pendek termasuk kehilangan hasil secara langsung, kelemahan impak pemindahan fiskal, dan penurunan kredibiliti dalam perbelanjaan awam.

“Dalam jangka panjang, ketirisan ini menyebabkan gangguan sistemik: ia mengukuhkan tingkah laku ‘rent-seeking’, mengurangkan insentif untuk kecekapan tenaga, dan melambatkan peralihan diperlukan ke arah rangka subsidi lebih bersasar dan lestari.

“Tanpa pembaharuan, subsidi berisiko menjadi liabiliti fiskal yang sudah sebati dalam politik dan bukannya alat untuk pembangunan yang adil,” katanya kepada FMT.

Seorang lagi ahli ekonomi, Madeline Berma dari Institut Masa Depan Malaysia berkata, ketirisan subsidi juga memburukkan kepercayaan awam, terutama apabila penerima tidak layak mendapat manfaat daripada subsidi kerajaan.

“Ketirisan subsidi juga berpotensi memburukkan ketidaksamaan pendapatan yang sekali gus membuka peluang untuk rasuah dan ‘rent-seeking’,” katanya.

Beliau berkata, walaupun pembaharuan dilaksanakan, Malaysia masih bergelut dengan ketirisan subsidi dan belum berjaya menghapuskan sepenuhnya.

Bagaimanapun, Madeline menyatakan langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel pada Jun tahun lalu menyebabkan penurunan ketara dalam ketirisan.

Awal bulan ini, kerajaan menamatkan kawalan harga ke atas telur dan mengurangkan subsidi daripada 10 sen kepada 5 sen sebiji, dengan penghapusan penuh dijadualkan pada 1 Ogos.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi yang terlalu lama adalah tidak mampan bagi kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara.

Katanya, langkah penyasaran semula subsidi adalah lebih adil memandangkan ketika ini ia turut dinikmati warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

“Dengan menetapkan semula sistem dan menggunakan teknologi untuk memantau penerima yang layak, kerajaan menjimatkan RM7.5 bilion tanpa menjejaskan mereka yang benar-benar memerlukan subsidi diesel,” kata ahli ekonomi Geoffrey Williams.

Beliau berkata, kejayaan membendung ketirisan bukan sahaja menjimatkan wang untuk perbelanjaan awam yang lebih bermakna, tetapi menghapuskan kelemahan secara menyeluruh akibat rasuah berkaitan subsidi.

Dana yang dijimatkan boleh dialihkan untuk perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan perlindungan sosial, sekali gus mengembalikan kepercayaan awam.

“Ia menghapuskan semua kelemahan subsidi dan menghilangkan gangguan pasaran, sekali gus mewujudkan sistem lebih kompetitif, tangkas dan cekap,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.