
Panel tiga hakim dipengerusikan Che Ruzima Ghazali berkata ambang untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini tidak dipenuhi.
“Ambang untuk semakan semula adalah tinggi dan sebagai mahkamah tertinggi, kami berhati-hati dalam menggunakan kuasa ini kerana ia bercanggah dengan prinsip memuktamadkan keputusan.
“Kuasa ini hanya boleh digunakan dalam kes luar biasa. Pemohon mesti menunjukkan bahawa berlaku ketidakadilan dan mereka tiada remedi lain,” katanya.
Beliau berkata pemohon masih mempunyai remedi lain kerana perkara dibangkitkan boleh dihujahkan dalam rayuan di Mahkamah Tinggi sekiranya Mahkamah Sesyen mensabitkan mereka.
Turut bersidang dalam permohonan itu ialah Hakim Azizul Azmi Adnan dan Hakim Ahmad Kamal Shahid.
Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad telah menetapkan perbicaraan selama sembilan hari bermula 18 Ogos.
Peguam M Athimulan mewakili Bung manakala K Kumaraendran mewakili Zizie.
Pendakwaan pula diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How dan Fadhly Zamry.
November lalu, Bung yang juga ketua Umno Sabah dan isterinya diperintahkan membela diri atas pertuduhan rasuah dan bersubahat berkaitan pelaburan Felcra bernilai RM150 juta.
Pada 7 Sept 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan pasangan itu daripada tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta FELCRA Berhad (FELCRA) dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar, yang ketika itu pengerusi bukan eksekutif FELCRA Berhad, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada menteri kewangan II untuk FELCRA membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.
Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.
Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015.