Subsidi menyeluruh banyak mudarat daripada kebaikan, kata ahli ekonomi

Subsidi menyeluruh banyak mudarat daripada kebaikan, kata ahli ekonomi

Walaupun subsidi bahan api membantu meringankan beban rakyat daripada kenaikan kos ia juga mendatangkan kesan tidak diingini.

pam minyak petronas
Ahli ekonomi percaya selagi subsidi menyeluruh kekal semakin sukar untuk melakukan reformasi apabila orang ramai mula melihatnya sebagai hak.
PETALING JAYA:
Walaupun subsidi sudah lama menjadi alat membantu meringankan bebas kos sara hidup, ahli ekonomi memberi amaran kos untuk mengekalkan subsidi menyeluruh mungkin lebih tinggi daripada apa yang kita fikirkan.

Biarpun subsidi bahan api membantu melindungi rakyat daripada kenaikan kos, ia juga mendatangkan kesan tidak diingini seperti penggunaan berlebihan, ketirisan dan faedah tidak seimbang kepada kumpulan berpendapatan tinggi.

“Ada satu tahap kritikal, dan kita sudah pun melepasi tahap itu, kata ahli ekonomi Geoffrey Williams dengan tegas. “Sebab itulah pelaksanaan subsidi bersasar amat penting.”

Beliau berkata, tahap itu ditandai oleh peningkatan ketidaksamaan yang biasa berlaku apabila kos subsidi melebihi manfaat yang dimaksudkan.

Namun, cabarannya bukan sekadar mengenai kos subsidi, tetapi juga akibat yang timbul jika dibiarkan tanpa kawalan.

Kesan jika tidak bertindak

Ahli ekonomi Madeline Berma berkata, walaupun subsidi tidak semestinya buruk, kaedah semasa sering memberi manfaat kepada mereka yang paling kurang memerlukannya.

“Sasarannya tidak begitu tepat. Kumpulan lebih kaya, bukan rentan sedang menyerap sebahagian besar faedah,” katanya.

Katanya, kerajaan mencapai kemajuan yang membanggakan dalam penyasaran subsidi diesel dan melancarkan inisiatif bersasar seperti program Budi Madani.

Menurut Kementerian Kewangan, program itu membantu menjimatkan kira-kira RM7 bilion, dengan pengurangan ketara dalam penyeludupan dan ketirisan.

Goh Lim Thye dari Universiti Malaya pula berkata, subsidi menyeluruh menjadi liabiliti dan menggalakkan pembaziran apabila penyasaran ditangguhkan.

“Hampir 40% daripada subsidi bahan api RON95 berjumlah RM8 bilion memberi manfaat kepada 15% penduduk terkaya dan warga asing,” katanya.

Menjelang 2023, subsidi bahan api melonjak lebih RM50 bilion setahun, melebihi belanjawan untuk penjagaan kesihatan dan infrastruktur.

Ketidakcekapan itu memberi kesan berterusan sedangkan dana yang sepatutnya boleh disalurkan ke arah lebih produktif seperti infrastruktur digital atau pendidikan.

“Dana yang hilang akibat ketirisan dan ketidakcekapan sepatutnya boleh digunakan untuk penjagaan kesihatan, infrastruktur digital, atau daya tahan iklim. Ia bukan sahaja tidak cekap malah tidak adil,” kata Goh.

Satu lagi ‘kos senyap’ ialah keterikatan. Semakin lama subsidi kekal bersifat menyeluruh, semakin sukar melaksanakan pembaharuan kerana ‘rakyat mula melihatnya sebagai hak’ dan ruang politik untuk pembaharuan mula tertutup.

Williams berkata, perlindungan berlebihan melalui subsidi juga akan melemahkan daya ekonomi dalam jangka panjang.

“Syarikat kurang berdaya saing jika dilindungi dengan subsidi dan ini menjadikan Malaysia secara keseluruhannya kurang berdaya saing, tangkas dan inovatif,” katanya.

Madeline berkata, tanpa tindakan tepat pada masanya, Malaysia berisiko kehilangan sasaran fiskalnya sekali gus melemahkan keyakinan pelabur.

“Penyasaran subsidi bukan sahaja mengenai ekonomi. Ia mengenai kredibiliti negara dan daya tahan jangka panjang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.