
Mengambil contoh kumpulan ‘Edisi Siasat’ di Telegram, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berkata pendedahan sepatutnya dilihat sebagai peluang memperkukuh integriti dan keyakinan rakyat.
Pengerusi Ismail Bakar, berkata EAIC memandang serius dakwaan salah laku maka akan bertindak ke atas aduan, daripada saluran rasmi mahupun tidak rasmi.
“Maklumat dikongsi boleh menjadi pencetus kepada siasatan awal sekiranya mengandungi elemen kukuh dan munasabah,” katanya lapor Berita Harian.
Ismail berkata, tindakan menyiasat dakwaan, sama ada benar atau palsu, menunjukkan komitmen pada ketelusan dan reformasi institusi.
Pendekatan itu juga selaras prinsip kebertanggungjawaban dan tadbir urus baik, katanya.
“Sekiranya dakwaan itu tidak berasas, siasatan boleh membersihkan nama baik agensi, namun jika terbukti wujud salah laku, tindakan susulan boleh diambil terhadap pihak terbabit,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail berkata EAIC diberi kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan untuk memulakan siasatan atas inisiatif sendiri, sekiranya ia berpuas hati perkara itu mempunyai kepentingan yang signifikan kepada orang ramai atau demi kepentingan awam.