
Perkara itu dimaklumkan peguam tertuduh Johan Radzi kepada Mahkamah Majistret Seremban semasa sebutan semula kes itu di hadapan Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah, lapor Sinar Harian.
Pegawai pendakwa polis M Shanmugavell berkata, pihak pendakwaan bersedia menyerahkan dokumen berkaitan kepada pihak pembelaan.
Nurul Azuin kemudiannya menetapkan 26 Jun depan sebagai tarikh keputusan representasi.
Remaja itu sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu secara berbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kematian Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, Muhammad Aswari Lotpi, 16 dan Aisar Azim Abdullah, 17.
Dia yang memandu kereta Honda Jazz didakwa melakukan kesalahan itu di lampu isyarat Jalan Persiaran Senawang 1, Taman Matahari Heights, kira-kira 8.30 malam, 6 Mac lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.
Remaja itu juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu tanpa lesen.
Media sebelum ini melaporkan dua pelajar lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah Honda Jazz yang gagal berhenti di lampu isyarat merah.
Seorang lagi penunggang motosikal yang cedera parah dalam kejadian itu meninggal dunia beberapa hari selepas menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.