Lelaki Pakistan ditahan tawar khidmat perubatan tanpa tauliah

Lelaki Pakistan ditahan tawar khidmat perubatan tanpa tauliah

Lelaki itu ditahan Jabatan Imigresen bersama lima lagi warga asing kerana disyaki membuka klinik secara haram.

zakaria shaaban
Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban berkata suspek disyaki membuka klinik secara haram sejak setahun lalu dan menawarkan perkhidmatan perubatan kepada warga asing. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Imigresen menahan seorang lelaki warga Pakistan kerana menawarkan perkhidmatan perubatan secara tidak sah kepada warga asing dalam operasi khas di Sungai Buloh, Shah Alam dan Jalan Ipoh, Isnin lalu.

Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban berkata dalam operasi hasil risikan selama dua minggu itu, pihaknya turut menahan tiga wanita warga Myanmar serta masing-masing seorang wanita warga Pakistan dan India. Semua warga asing itu berusia 23 hingga 57 tahun.

Katanya, lelaki warga Pakistan dikenali sebagai ‘Maleeq’ itu dipercayai berperanan sebagai doktor, tiga wanita warga Myanmar yang disyaki pembantu ‘klinik’.

“Siasatan awal mendapati terdapat kesalahan seperti tinggal lebih masa, penyalahgunaan pas lawatan, tiada dokumen sah serta pemilikan kad UNHCR,” katanya dalam kenyataan menurut Bernama.

Zakaria berkata dalam serbuan itu pihaknya turut merampas buku log pesakit, cop klinik, beberapa pasport, peralatan perubatan, sijil sakit, telefon bimbit dan pakaian pengamal perubatan.

Katanya, klinik itu dipercayai sudah beroperasi selama setahun itu dan menawarkan pemeriksaan kesihatan pada waktu malam kepada warga asing dengan bayaran RM90, yang dibayar secara dalam talian.

Menurutnya, semua warga asing itu ditahan di Depot Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Katanya, seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Filipina pula diberi notis untuk hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.