Lelaki bebas tuduhan edar dadah, sabitan memiliki kekal

Lelaki bebas tuduhan edar dadah, sabitan memiliki kekal

Wan Mohd Efizan W Mohd Shamli, 37, sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan kerana mengedar 151.60 gram dadah jenis methamphetamine.

Court of Appeal Mahkamah rayuan
Hakim Azman Abdullah berkata sabitan Wan Mohd Efizan didapati tidak selamat kerana percanggahan dalam testimoni saksi pendakwaan berhubung lokasi dadah berkenaan pada masa bahan itu ditemui.
PUTRAJAYA:
Seorang lelaki dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini daripada tuduhan mengedar 151.60 gram dadah jenis methamphetamine.

Keputusan panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Azman Abdullah, Azmi Ariffin dan Noorin Badaruddin membuat keputusan membenarkan rayuan Wan Mohd Efizan W Mohd Shamli, 37, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mengedar dadah terhadapnya.

Azman yang menyampaikan keputusan sebulat suara itu berkata sabitan Wan Mohd Efizan didapati tidak selamat kerana percanggahan dalam testimoni saksi pendakwaan berhubung lokasi dadah berkenaan pada masa bahan itu ditemui.

Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan sabitan memiliki 28.69 gram methamphetamine terhadap Wan Mohd Efizan. Dia akan menjalani hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan atas kesalahan itu.

“Kami mendapati elemen memiliki telah dibuktikan,” kata Azman sambil menambah sabitan bagi memiliki dadah dan hukuman penjara serta sebat dikekalkan.

Pada 10 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman 30 tahun penjara dan 12 sebatan ke atas Wan Mohd Efizan selepas mendapati dia bersalah mengedar methamphetamine.

Lelaki itu turut dihukum penjara lima tahun dan tiga sebatan kerana memiliki dadah tersebut.

Wan Mohd Efizan diarahkan untuk menjalani hukuman secara serentak bermula dari tarikh dia ditahan pada 2 Mei 2020.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Sri Bayu, Sungai Pelek, Sepang, Selangor, pada kira-kira 10.30 pagi pada tarikh sama.

Wan Mohd Efizan diwakili peguam Ariff Azami Hussein dan Nur’ain Shahiera Khalid manakala Timbalan Pendakwa Raya Nik Mohd Fadli Nik Azlan hadir bagi pihak pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.