Agensi kawalan sempadan siasat pegawai disyaki terlibat ‘counter setting’

Agensi kawalan sempadan siasat pegawai disyaki terlibat ‘counter setting’

Empat pegawai disyaki bantu warga asing lepasi pemeriksaan Imigresen di KLIA tanpa prosedur sah antara Januari hingga April.

imigresen klia
Aktiviti ‘counter setting’ adalah amalan melepaskan individu tertentu melalui kaunter pemeriksaan di sempadan negara tanpa melalui prosedur sah dan teratur. (Gambar Facebook)
SEPANG:
Empat pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sedang disiasat atas dakwaan bersubahat membantu warga asing melepasi pemeriksaan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tanpa prosedur sah bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.

AKPS dalam kenyataan memaklumkan, pegawai berkenaan disyaki terlibat dalam aktiviti counter setting, iaitu amalan melepaskan individu tertentu melalui kaunter pemeriksaan tanpa melalui prosedur sah dan teratur.

“AKPS memandang serius perkara ini dan tidak berkompromi dengan pegawai atau individu terlibat dalam sebarang salah laku atau perbuatan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan sempadan negara.

“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang termasuk tindakan tatatertib terhadap pegawai terbabit,” menurut kenyataan itu.

AKPS memaklumkan dalam tempoh sama, pihaknya menahan 25 warga Vietnam, Kemboja, India, dan Indonesia di KLIA kerana disyaki cuba keluar dari Malaysia.

“Mereka ditahan kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan di negara ini dan pengesahan masuk mereka disyaki diperoleh tanpa prosedur sah.

“Penahanan tersebut hasil daripada pemeriksaan berkala dan pemantauan berterusan oleh AKPS KLIA sepanjang tempoh tersebut,” menurut kenyataan itu.

AKPS akan terus mempergiat usaha pemantauan serta memperkemas mekanisme penguatkuasaan bagi memastikan pintu masuk negara tidak disalah guna pihak yang cuba menjejaskan keselamatan dan kedaulatan sempadan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.