Warga emas, cucu ditemukan rentung dalam kebakaran

Warga emas, cucu ditemukan rentung dalam kebakaran

Kejadian berlaku di Kota Kinabalu awal pagi tadi ketika kedua-dua mangsa terperangkap dalam rumah mereka.

Beberapa anggota bomba memeriksa keadaan rumah mangsa yang ditemukan rentung dalam kebakaran di Kota Kinabalu.  (Gambar Facebook Borneo)
PETALING JAYA:
Seorang wanita warga emas ditemukan rentung bersama cucunya dalam kebakaran di Kampung Pulau Penampang, Kota Kinabalu awal pagi tadi.

Mangsa berusia 82 tahun dan cucu perempuannya berusia 14 tahun dikatakan tidak sempat menyelamatkan diri ketika rumah mereka dijilat api, dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.22 pagi.

Menurutnya, seramai 20 anggota dengan dibantu BBP Lintas dan Penampang digerakkan ke lokasi untuk melakukan operasi pemadaman.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal yang terbakar hampir keseluruhannya. Turut terbakar sebuah kenderaan Perodua Axia.

“Operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan dengan menggunakan sumber air dari jentera dan tangki air sebelum api berjaya dikawal pada 5.55 pagi.

“Sebaik api berjaya dikawal, pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan menemukan mangsa yang rentung iaitu seorang wanita warga emas ditemui pada 7.13 pagi manakala cucunya ditemui 7.33 pagi,” katanya ketika dihubungi, menurut Sinar Harian.

Tambahnya lagi, ketika kejadian, terdapat enam sekeluarga berada dalam rumah terbabit namun hanya empat yang berjaya menyelamatkan diri.

“Kedua-dua mangsa dikatakan berada di bilik yang sama dan mereka tidak sempat keluar menyelamatkan diri.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada 8.43 pagi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.