
Pengasas badan pemikir pengangkutan My Mobility Vision Wan Agyl Wan Hassan berkata langkah itu memerlukan komitmen berterusan, keberanian politik dan keupayaan menyusun semula keutamaan fiskal.
Menurutnya, ketika ini ramai penduduk luar bandar masih bergantung dengan kenderaan persendirian kerana kekurangan perkhidmatan bas, laluan tidak menyeluruh dan infrastruktur terbiar.
Keadaan itu jelas Wan Agyl menyebabkan pergerakan mereka terbatas sekali gus mengekang akses kepada peluang ekonomi dan sosial.

“Ini masa sesuai ambil langkah berani salur penjimatan subsidi bersasar RON95 dan suntik dana kepada pengangkutan awam serta mobiliti rakyat,” katanya kepada FMT.
Menurut Laporan Tahunan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2023, lebih 70% rakyat Malaysia masih bergantung pada kenderaan persendirian untuk perjalanan harian.
Kajian Institut Pengangkutan Malaysia (Mitrans) pada tahun lalu pula menunjukkan hanya 30% pengguna lebuh raya bersedia menggunakan pengangkutan awam jika lebih mudah diakses.
Bagi Belanjawan 2025, kerajaan menyalurkan peruntukan kepada Kementerian Pengangkutan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan awam dan mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Sekitar 44% daripada dana itu disalurkan bagi subsidi pengangkutan awam, meliputi perkhidmatan rel darat dan pengangkutan udara.
Antara inisiatif penting diteruskan ialah subsidi My50 (pas perjalanan bulanan tanpa had) dan Pas Mutiara (untuk Pulau Pinang), dengan peruntukan RM226 juta, yang memanfaatkan lebih 180,000 pengguna di Lembah Klang dan wilayah utara.

Pakar pengangkutan Gary Foong turut senada dengan Wan Agyll supaya peralihan penggunaan kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam terus diperhebatkan untuk mengurangkan kesesakan di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
“Inisiatif itu turut sokong pengurangan pelepasan karbon dan mempromosikan ekonomi rendah karbon yang lebih mampan,” katanya.

Seorang lagi pakar pengangkutan Rosli Khan pula berpendapat perlu ada usaha untuk meningkatkan kemudahan pengangkutan awam di luar bandar, menggunakan tambahan hasil penjimatan subsidi.
“Buat kajian dan analisa lebih terperinci supaya bantuan disediakan benar-benar dirasai golongan memerlukan,” katanya.