Nga arah kesan TikToker sebar berita palsu MyKiosk

Nga arah kesan TikToker sebar berita palsu MyKiosk

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata pihaknya akan membuat laporan polis dan SKMM dalam masa terdekat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata harga seunit MyKiosk RM25,000 yang dijadikan isu adalah taktik untuk mengkritik projek berkenaan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) diarah mengesan TikToker yang menyebarkan berita palsu dan video fitnah mengenai projek MyKiosk di media sosial.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata pihaknya juga akan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam masa terdekat.

Katanya, kakitangan kementerian sedang giat mengumpul video berita palsu yang disebarkan.

“Kamu berani sebar berita palsu, kamu tanggung sendiri,” katanya dalam sidang media di KPKT selepas majlis prapelancaran Anugerah Kecemerlangan Menteri (AKM) 2025 dan Anugerah Kecemerlangan Media (Akemedia).

Nga Kor Ming
Nga Kor Ming dalam sidang media di KPKT selepas majlis prapelancaran Anugerah Kecemerlangan Menteri 2025 dan Anugerah Kecemerlangan Media.

Nga berkata, beliau juga terbuka jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin melakukan siasatan berhubung projek itu.

Sebelum ini, Pemuda MCA Pahang dilaporkan sedia melangkah ke pejabat SPRM bersama DAP bagi membantu siasatan ke atas projek MyKiosk bernilai RM250 juta.

Kesediaan itu disuarakan Ketua Pemuda Wong Siew Mun yang turut mempersoalkan kenapa kerajaan membayar sebanyak RM25,000 hingga RM34,000 sedangkan harga pasaran hanya RM12,800 bagi seunit kios.

Sementara itu, Nga menjelaskan harga RM25,000 yang dijadikan isu adalah taktik untuk mengkritik projek berkenaan, sedangkan ia sudah termasuk kos solar panel, kipas, dapur, pengangkutan, pemasangan dan lokasi.

“Sebab itu kita buka secara tender terbuka. Saya juga sudah ‘check’ di Majlis Perbandaran Taiping dan Majlis Perbandaran Ipoh, ada pembekal bagi harga RM13,000 dan RM15,000.

“Saya rasa ini cara paling telus,” katanya.

Pada 8 Mei lalu, Nga juga dilaporkan berkata dakwaan projek bawah kementeriannya itu menjadi ‘gajah putih’ tidak benar dan tidak berasas.

Katanya, majoriti kios sudah diisi, dengan hanya sebahagian kecil masih belum beroperasi.

Projek MyKiosk KPKT adalah inisiatif untuk membantu golongan B40 dan peniaga perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) dengan menyediakan ruang niaga seragam, selamat dan selesa.

Ia bertujuan meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi penduduk setempat melalui penyediaan kios perniagaan dengan kadar sewaan rendah.

Hingga Disember 2024, sebanyak 7,243 unit MyKiosk diluluskan di 133 PBT seluruh negara, membantu lebih 7,000 keluarga meningkatkan pendapatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.