
Kementerian Perpaduan Negara, berkata pihaknya turut menjenamakan semula program ‘Ini Warisan Kita: Misi Sukarelawan Siswa’ kepada ‘Madani Berkhidmat: Sukarelawan Siswa’.
Jelasnya, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Perpaduan Aaron Ago Dagang bersama Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).
“Tahun ini, misi sukarelawan akan dilaksanakan di negeri Sabah, Sarawak, Pahang, Perak, dan negara Vietnam, selaras aspirasi memperluas impak komuniti dan memperkukuh jaringan serantau,” katanya dalam kenyataan.
Menurut kementerian, setakat ini YSS telah berjaya melahirkan 2,153 pemimpin sukarelawan siswa membabitkan pelaksanaan 9,665 projek komuniti di seluruh negara.
Sementara itu Aaron dalam ucapannya, mahu YSS berperanan sebagai agensi kerajaan yang proaktif dengan tumpuan diberikan kepada misi sukarelawan siswa, Tuisyen Kami, ejen perpaduan serta program pembangunan kepimpinan sukarelawan siswa.
Dalam pada itu, Aaron meminta supaya YSS meneliti keperluan mewujudkan satu dasar atau pelan tindakan kesukarelawan komprehensif, sebagai kerangka panduan nasional dalam memperkasa gerakan kesukarelawanan secara lebih tersusun dengan penglibatan semua agensi kerajaan berkaitan.