
Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan, yang menjatuhkan hukuman itu ke atas peniaga baju Mustafa Sulaiman, 57, berkata kepentingan awam perlu diutamakan dalam kes berkenaan kerana kenyataan tertuduh bagaikan mencurah minyak dalam api.
“Mahkamah berharap hukuman ini akan memberi pengajaran kepada tertuduh. Bagi kesalahan pertama, tertuduh didenda RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda manakala bagi kesalahan kedua, tertuduh didenda RM4,000 atau tiga bulan penjara,” katanya menurut Bernama.
Mustafa didakwa membuat kenyataan yang mendatangkan khianat awam terhadap Mohammad Shahli Zaini Mohd Zulkepli, 32, dengan niat hendak menghasut orang awam untuk melakukan sesuatu kesalahan terhadapnya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh juga didakwa menakutkan mangsa sama melalui kenyataan yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp dengan ugutan hendak menyebabkan kematian atau kecederaan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya.
Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Menara Penguatkuasaan DBKL, Jalan Yaacob Latif Bandar Tun Razak, Cheras, pada 10.30 pagi 7 April.
Terdahulu, peguam Dzafir Firdaus Ahmad Zubairy memohon hukuman denda minimum atas alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga yang menjaga lima anak, isteri, dan mentua.
“Tertuduh tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ia kesalahan pertama. Kenyataan anak guam saya tidak membawa sebarang hasutan dan ia hanya dihantar dalam kumpulan WhatsApp,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa pula memohon hukuman setimpal kerana tangkap layar WhatsApp tersebut memaparkan kenyataan berbaur ancaman, hasutan dan ugutan dengan niat terhadap penguat kuasa DBKL sebagai penjawat awam yang menguatkuasakan undang-undang.
“Tertuduh berniat jahat untuk menjejaskan reputasi dan imej datuk bandar serta menghasut untuk mendatangkan kecederaan kepada penguat kuasa DBKL,” katanya.