Nahas FRU: Pemandu lori bebas selepas majikan bayar ikat jamin

Nahas FRU: Pemandu lori bebas selepas majikan bayar ikat jamin

Polis berkata difahamkan wang jaminan itu diperoleh daripada majikan dan rakan tertuduh secara 'sharing to raise up fund'.

Rudi Zulkarnain Mat Radi dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan Jumaat lalu. Turut hadir Ketua Polis Hilir Perak Bakri Zainal Abidin (kanan). (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemandu lori batu dalam nahas mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) minggu lalu dibebaskan selepas membayar wang jaminan ditetapkan mahkamah.

Ketua Polis Hilir Perak, Bakri Zainal Abidin berkata, pihaknya difahamkan wang jaminan itu diperoleh daripada majikan dan rakan tertuduh secara “sharing to raise up fund” (dana perkongsian).

“Pemandu lori ini akan diberi jaminan mahkamah, yang mana majikannya sudah membayar wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin,” katanya menurut Harian Metro.

Media sebelum ini melaporkan Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, akan ditempatkan di lokap Batu Gajah sehingga tarikh sebutan semula kes pada 17 Jun ini, selagi tidak membayar wang jaminan ditetapkan Mahkamah Majistret Teluk Intan.

Tertuduh mengaku tidak bersalah di depan Hakim Nur Hamizah Shaffiuddin pada 16 Mei lalu atas semua sembilan pertuduhan memandu dengan cara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian, iaitu sembilan anggota FRU.

Bagi setiap pertuduhan itu, dia berdepan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.

Mahkamah menetapkan jaminan RM6,000 bagi semua pertuduhan itu, selain syarat tambahan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai di mahkamah dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap minggu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.