
BHEUU memaklumkan pemeteraian MoU itu disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said semasa lawatan kerja berimpak tinggi ke Jepun selama tiga hari bermula 15 Mei lalu.
Pemeteraian MoU itu formaliti kepada kerjasama dalam bidang timbang tara komersial, pembinaan kapasiti serta inisiatif latihan bersama antara AIAC dan JAA yang seterusnya akan diperkukuh di peringkat menteri sewaktu Dialog Khas Malaysia-Jepun mengenai Kerjasama Perundangan pada Ogos ini.
“Dialog ini, yang menghimpunkan beberapa institusi timbang tara, diiktiraf kerajaan kedua-dua negara untuk mewujudkan kerjasama lebih mendalam dalam usaha kerajaan Madani menterjemah hasil dialog kepada implementasi sebenar,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Azalina dalam kenyataan sama berkata, Malaysia dan Jepun sepakat kejayaan sebenar dalam kerjasama undang-undang ditentukan melalui tindakan.
Melalui perkongsian pengetahuan dalam institusi, katanya, Malaysia kini melangkah ke arah mewujudkan ekosistem undang-undang serantau yang menyokong sektor komersial, meningkatkan keyakinan pelabur dan pembangunan serantau mampan untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat serta pembangunan ekonomi serantau.
“Malaysia dan Jepun mempunyai hubungan dua hala mendalam, terutama dalam kerjasama undang-undang. Sempena Kepengerusian Asean-Malaysia 2025, lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk mengukuhkan institusi perundangan yang menyokong pembangunan mampan dan integrasi serantau.”
BHEUU pula memaklumkan lawatan itu juga memperlihatkan keyakinan serta pengiktirafan masyarakat antarabangsa berhubung agenda reformasi undang-undang dan institusi Malaysia, apabila Azalina diundang membentangkan perkara itu yang menyeluruh serta menarik minat pihak berkepentingan di Jepun.
Antaranya, penggubalan Akta Keselamatan Dalam Talian (2024), pindaan Akta Timbang Tara (2024), pindaan Akta Pengantaraan 2012, pengesahan Konvensyen Singapura mengenai Pengantaraan, pemulihan Akta Perkhidmatan Parlimen (2025) dan usaha melaksanakan undang-undang model Suruhanjaya Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Undang-undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL) berkaitan insolvensi rentas sempadan.
Menurut kenyataan itu, delegasi Malaysia turut membincangkan rancangan Putrajaya menubuhkan pasukan petugas khas mediasi dengan penekanan mediasi sebagai teras bagi penyelesaian pertikaian, meningkatkan akses kepada keadilan, mengurangkan beban litigasi dan menyediakan alternatif yang kos efektif.
“Perbincangan dengan Pusat Mediasi Antarabangsa Jepun (JIMC) di Kyoto dan lawatan ke Fakulti Undang-undang Universiti Doshisha turut mengukuhkan lagi keutamaan strategik ini.”
Misi strategik ke Jepun itu membina momentum usaha diplomasi undang-undang Asean-Malaysia yang lebih luas sebagai kesinambungan beberapa lawatan Azalina ke Indonesia, Thailand, Kemboja dan Vietnam baru-baru ini.
Azalina turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Keadilan Jepun, Keisuke Suzuki bagi membincangkan keutamaan bersama, termasuk agenda reformasi undang-undang, pendigitalan sistem keadilan dan pembinaan kapasiti dalam mekanisme penyelesaian pertikaian alternatif (ADR).
Beliau juga menemui beberapa tokoh utama undang-undang dan Parlimen Jepun, pengamal undang-undang serta pakar timbang tara bagi mengukuhkan hubungan Malaysia serta Jepun, terutama dalam bidang undang-undang dan keadilan.
“Misi ini menandakan langkah penting ke arah menterjemah komitmen bersama kepada implementasi berkesan, mengukuhkan kepercayaan bersama dan meletakkan asas bagi seni bina undang-undang berdaya tahan dan sedia masa depan di seluruh rantau ini.”