
Pengasas badan pemikir pengangkutan My Mobility Vision, Wan Agyl Wan Hassan, berkata peranan SPAD yang kini diambil alih Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dilihat kurang berautonomi, lebih birokratik dan lambat bertindak.

SPAD, sebuah suruhanjaya di bawah Jabatan Perdana Menteri dimansuhkan pada 2018 selepas Pakatan Harapan (PH) 1.0 mentadbir Putrajaya.
Peranan pembangunan sektor pengangkutan awam darat kemudian di bawah seliaan APAD, sebuah jabatan di bawah Kementerian Pengangkutan yang diwujudkan setahun selepas itu.
“Akibatnya (pemansuhan SPAD), kelulusan lesen tergendala, penguatkuasaan lemah dan beberapa pelan besar dilihat bergerak perlahan,” katanya kepada FMT.
“Ramai pakar berpendapat kita perlu semula satu suruhanjaya bebas untuk mengetuai pembaharuan pengangkutan awam secara fokus dan bebas daripada kekangan pentadbiran harian.”
SPAD buat kerja dengan baik
Mengulas cadangan itu, bekas pengerusi SPAD, Syed Hamid Albar mendedahkan beliau antara individu menentang langkah memansuhkan SPAD di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad pada 2018.
Bekas menteri Umno itu berkata peranan APAD amat berbeza dengan SPAD yang menurutnya nyata berjaya merancang dan menyelaras sektor pengangkutan awam darat secara strategik, yang kesannya dapat dilihat kini.
“Masa Mahathir jadi perdana menteri semula, saya berpeluang jumpanya, saya bagi tahu dia saya tak setuju dengan pemansuhan SPAD, sebab SPAD buat kerja dengan baik,” katanya kepada FMT.
“Kalau ada personaliti yang kita tak suka atau ada orang yang diletakkan di situ tak sesuai, tukarkan individu itu tetapi jangan kacau suruhanjaya itu.”
Syed Hamid mengetuai SPAD selama tujuh tahun sejak Jun 2010, kemudian digantikan dengan bekas menteri besar Negeri Sembilan, Isa Samad, pada Jun 2017 sebelum dibubarkan pada Mac 2018.

Beliau berkata pemansuhan sesebuah suruhanjaya kerana pertukaran pentadbiran di Putrajaya tidak baik untuk pembangunan melibatkan kepentingan awam.
“Bila tukar kerajaan, kita tukar juga benda-benda yang bagus, itu tak berapa bijak. Kalau semua perkara kita campurkan dengan politik nanti jadi berkecamuk, ada benda yang mesti ada kesinambungan,” katanya.
Beliau menekankan bahawa dasar yang baik perlukan kesinambungan meskipun kerajaan bertukar tangan.
“Kita ada dasar yang baik tetapi kita tak ada kesinambungan, sebab kita asyik bertukar kerajaan, bertukar menteri dan bertukar dasarnya,” katanya, dan menambah SPAD berjaya mengintegrasikan sistem pengangkutan awam termasuk rel, bas, dan teksi melalui suatu pelan induk.
“Kena buat keputusan berdasarkan kepentingan negara,” katanya.
Syed Hamid berpandangan kerajaan wajar ambil perhatian syor supaya suruhanjaya itu dihidupkan semula, menjelaskan badan seperti itu berpeluang berkhidmat secara bebas daripada pengaruh luaran.
“APAD sebuah jabatan dalam Kementerian Pengangkutan, lain dengan SPAD yang bebas… APAD tak boleh bergerak sendiri, dia kena tunggu arahan jadi perkhidmatan dan respons dia pun tak begitu agresif,” katanya.