PRN Sabah: Zahid tepis ada kumpulan Bung Moktar, Rahman

PRN Sabah: Zahid tepis ada kumpulan Bung Moktar, Rahman

Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata hanya ada kumpulan Barisan Nasional (BN) ketika komponen itu bersiap menghadapi PRN.

Wujud perbezaan pendapat di antara Rahman Dahlan dan Bung Moktar Radin dalam beberapa isu sehingga menimbulkan persepsi wujud beberapa kumpulan dalam Umno Sabah.
PETALING JAYA:
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi menolak kewujudan kumpulan membabitkan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin dan Timbalannya Abdul Rahman Dahlan ketika komponen itu bersiap menghadapi PRN.

Zahid yang juga presiden Umno berkata BN hanya bergerak dalam satu kumpulan, sambil menyatakan perbalahan antara satu sama lain hanya menyebabkannya kalah seperti pilihan raya sebelum ini, lapor Berita Harian.

Zahid Hamidi
Zahid Hamidi.

“Tiada kumpulan Bung Moktar, tiada kumpulan Abdul Rahman, tiada kumpulan Salleh Said dan tiada kumpulan Yakubah Khan, hanya ada kumpulan BN Sabah,” katanya dalam satu majlis di Kota Kinabalu, malam tadi.

“Kita sudah kecundang dua kali kerana sibuk melayani perbezaan kita, masing-masing pemimpin ada ego dan menerima akibatnya ialah rakyat, gajah sama gajah bertarung yang mati kancil di tengah.”

Kenyataan Zahid itu mungkin merujuk perbezaan pendapat di antara Bung Moktar dan Rahman dalam beberapa isu sehingga menimbulkan persepsi wujud beberapa kumpulan dalam Umno Sabah.

Pada Jun tahun lalu, Bung Moktar menegur tindakan Rahman menjemput Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor ke majlis perasmian mesyuarat Umno Tuaran yang didakwanya sebagai ‘tidak tepat dan silap’.

Menurutnya, ini kerana majlis itu seharusnya menjadi platform buat Zahid menyampaikan amanat dan strategi kepada ahli Umno namun terbatas dengan kehadiran pemimpin luar seperti Hajiji.

Rahman pula menegaskan Umno Tuaran diketuainya mempunyai hak menjemput sesiapa sahaja selain menjelaskan keputusan menjemput ketua menteri Sabah itu kerana menghormati formasi kerjasama kerajaan perpaduan di peringkat nasional.

Pada 27 Mac lalu, Bung Moktar dilaporkan FMT berkata pihaknya bersedia mencalonkan Rahman di DUN Sulaman sesuai dengan kedudukan sebagai ketua Umno Tuaran dan kampung asalnya di kawasan terbabit.

DUN Sulaman kini disandang Hajiji.

Namun sehari selepas itu, Rahman menegaskan sebarang keputusan berkait kerusi bakal ditandingi pada PRN termasuk di Tuaran perlu dibincangkan bersama bukan ditentukan seorang sahaja.

“Autonomi bukan bermakna satu orang saja membuat keputusan. Kalau seorang saja siok-siok membuat keputusan, itu bukan autonomi, itu autokrasi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.