Warga emas rentung dalam kebakaran

Warga emas rentung dalam kebakaran

Bomba berkata mayat lelaki berusia 61 tahun itu ditemukan rentung dalam kejadian di Kampung Tebing Tinggi, Ipoh.

garisan kuning
Sebuah rumah terbakar 90% yang mengakibatkan seorang warga emas rentung dalam kejadian di Ipoh, awal pagi tadi.
IPOH:
Seorang warga emas rentung selepas rumahnya musnah dalam kebakaran di Lorong Tebing Tinggi 2, Kampung Tebing Tinggi di sini awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mayat lelaki berusia 61 tahun itu ditemukan rentung di bahagian dapur rumah terbabit.

Beliau berkata pihak bomba menerima panggilan pada 2.35 pagi sebelum lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Putih digerakkan ke lokasi bersama sebuah jentera.

“Sebaik tiba, kebakaran melibatkan sebuah rumah musnah terbakar sebanyak 90 peratus dan komander operasi mengarahkan pasukan bomba untuk melakukan teknik RECEO, satu aliran hos 0.3 meter dengan dua pancutan dari tangki jentera.

“Mangsa ditemukan rentung ketika proses pemeriksaan dan pemadaman susulan sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada 5.44 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.