Radzi ganti Peja suntik semangat baru PN, kata penganalisis

Radzi ganti Peja suntik semangat baru PN, kata penganalisis

Mazlan Ali berkata pemantapan jentera penerangan PN perlu untuk berdepan jentera Malaysia Madani.

Ahmad Faizal Azumu Radzi Jidin
Disember lalu Ahmad Faizal Azumu dilantik ketua penerangan PN manakala Radzi Jidin sebagai ahli Majlis Tertinggi komponen itu.
PETALING JAYA:
Pelantikan Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin sebagai ketua penerangan Perikatan Nasional (PN) yang baharu mungkin dibuat untuk memberi semangat baharu bagi menandingi jentera Malaysia Madani, kata penganalisis.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata peranan Ahmad Faizal Azumu yang memegang jawatan itu sebelum ini mungkin dilihat kurang berkesan dan jentera penerangan disifatkan sangat penting untuk menyebarkan mesej kepada rakyat.

“Proses ini berlaku untuk mengukuhkan kembali kedudukan PN sebagai pesaing kepada kerajaan Madani, sekarang mungkin dilihat tidak begitu mantap.

“Maka perlu digantikan (ketua penerangan) dengan Radzi untuk menimbulkan satu semangat baharu dalam PN,” katanya kepada FMT.

“PN perlu lebih ada daya kekuatan terutama penerangan sangat penting untuk tingkat momentum PN.”

Kelmarin, FMT melaporkan hantaran Facebook pemimpin PAS Ahmad Fadhli Shaari yang menyatakan Radzi selaku ketua penerangan PN telah mesyuarat jabatan penerangan dan komunikasi gabungan itu, Khamis lalu.

Disember lalu, Faizal, seorang daripada tiga naib presiden Bersatu dilantik sebagai ketua penerangan PN menggantikan Azmin Ali yang ‘naik pangkat’ kepada setiausaha agung manakala Radzi sebagai ahli majlis tertinggi.

Setakat ini, PN tidak membuat pengumuman berhubung pertukaran jawatan membabitkan Faizal dan Radzi.

Tawfiq Yaakub dari Universiti Malaya pula berkata ketiadaan pengumuman rasmi daripada pimpinan PN memberi isyarat jelas wujud cubaan mematikan langkah politik Faizal daripada kepimpinan utama menjelang PRU16.

Menurutnya, pertukaran itu telah mencalarkan reputasi dan imej bekas menteri besar Perak itu yang sebelum ini turut dikaitkan dengan beberapa kontroversi.

“Saya yakin pertukaran ini berkait dengan prestasi Peja yang semakin merosot dan penuh dengan penolakan.

“PN dalam dilema, jika tidak buat pertukaran maka desakan dalaman Bersatu dan PN terhadap Peja akan semakin sukar dibendung,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.