Anwar tak akan sokong mana-mana pihak, kata timbalan SUA PKR

Anwar tak akan sokong mana-mana pihak, kata timbalan SUA PKR

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat majlis pimpinan pusat PKR, kata Sathia Prakash Nadarajan.

Sathia Prakash Nadarajan
Timbalan Setiausaha Agung PKR Sathia Prakash Nadarajan pesan jangan percaya anggota yang dakwa dia ‘cai’ presiden.
PETALING JAYA:
Mesyuarat majlis pimpinan pusat (MPP) PKR telah memutuskan Presiden Anwar Ibrahim tidak akan menyokong mana-mana calon sebagai ‘barisan presiden’ dalam pemilihan akan datang, menurut timbalan setiausaha agung parti.

Justeru tiada calon yang boleh mendakwa dirinya disokong Anwar, kata Sathia Prakash Nadarajan.

“Perkara itu telah diputuskan dan dipersetujui dalam mesyuarat MPP bahawa presiden tidak akan menyokong mana-mana calon sebagai barisan beliau,” katanya lapor Malaysiakini.

“Jika anggota parti berjumpa dengan mana-mana calon yang mengakui bahawa dia adalah barisan atau ‘cai’ presiden, jangan percaya.”

Beliau mengulas laporan mengatakan beberapa pemimpin parti mengadakan pertemuan tertutup dengan ketua-ketua cabang dan perwakilan, mendakwa mereka mewakili ‘cai’ presiden’.

“Ada pihak cuba menggunakan nama presiden mengambil jalan mudah untuk memancing undi. Namun ia tidak benar sama sekali. Presiden tak menyokong sesiapa pun,” katanya.

Pemilihan jawatan pusat PKR berlangsung 23 Mei ini.

Pemilihan kali ini menyaksikan pertembungan bagi jawatan timbalan presiden, melibatkan Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar.

Dalam pada itu, 11 calon akan merebut empat jawatan naib presiden, manakala 86 bersaing untuk 20 kerusi MPP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.