
Polis berkata pendakwaan akan dibuat di mahkamah Kuala Lumpur, dan pertuduhan akan dikemukakan mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (KK).
Seksyen 506 KK menyentuh kesalahan menakutkan secara jenayah manakala Seksyen 505 KK berkenaan kenyataan yang mendatangkan khianat awam.
“Kes ini melibatkan ugutan yang dibuat oleh seorang pemilik akaun Facebook terhadap pihak penguat kuasa,” katanya lapor Bernama.
Sebelum ini, media melaporkan berlaku kekecohan di Jalan Tuanku Abdul Rahman di ibu negara pada 28 Mac, apabila serbuan DBKL terhadap peniaga tanpa lesen bertukar menjadi pergaduhan.
Polis menerima tiga laporan termasuk daripada seorang pegawai DBKL berhubung penyebaran gambarnya di Facebook disertai dengan kenyataan berunsur ancaman.
Seksyen 506 KK memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan; atau boleh sampai tujuh tahun penjara, atau denda, atau kedua-duanya jika ugutan itu hendak menyebabkan kematian atau cedera parah.
Seksyen 505 KK pula memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.