2 suspek ditahan berkait kes tetak depan restoran

2 suspek ditahan berkait kes tetak depan restoran

Dalam kejadian di Butterworth Jumaat lepas, mangsa diserang seorang suspek dan dua lagi rakannya menggunakan parang.

Dua suspek ditahan beberapa jam selepas kejadian dan seorang lagi sedang dikesan bagi membantu siasatan, kata Pemangku Ketua Polis Seberang Perai Utara C Tharmalingam.
BUTTERWORTH:
Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes seorang mangsa parah selepas ditetak dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Jalan Raja Uda, di sini pada Jumaat lepas.

Pemangku Ketua Polis Seberang Perai Utara, C Tharmalingam berkata dalam kejadian kira-kira 7.20 malam itu, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun bersama rakannya yang juga lelaki tiba di hadapan restoran untuk menjamu selera.

“Apabila mangsa membuka pintu keretanya untuk keluar dan masuk ke dalam restoran, tiba-tiba diserang seorang suspek yang memakai topeng dari arah belakang.

“Mangsa cuba melarikan diri sebelum dilanggar oleh kereta dinaiki suspek dan terjatuh. Suspek bersama dua lagi rakannya kemudian menyerang mangsa menggunakan parang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tharmalingam berkata mangsa cuba mendapatkan rawatan di klinik swasta sebelum dihantar ke sebuah hospital untuk rawatan lanjut.

“Ekoran kejadian itu, polis menahan dua lelaki berusia lingkungan 30-an beberapa jam selepas kejadian dan sedang mengesan seorang lagi lelaki bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Irwan Shah di talian 04-5762222 (sambungan 2275) atau mana-mana balai polis berdekatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.