
Timbalan Ketua Polis Perak Zulkafli Sariaat berkata Rudi Zulkarnain Md Radi, 45, akan terus ditempatkan di lokap Batu Gajah hingga tarikh sebutan semula kes, iaitu 17 Jun depan.
“Beliau tidak dapat bayar, kita juga tidak menerima sebarang bayaran daripada pihak lain setakat ini,” katanya ketika ditemui di Hospital Teluk Intan (HTI).
Semalam, Mahkamah Majistret Teluk Intan menetapkan jaminan RM6,000 selepas pemandu lori tersebut dituduh memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU berkenaan.
Tertuduh mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan.
Media hari ini melaporkan terdapat warganet berhasrat membayarkan wang jaminan terbabit.
Dalam pada itu, Zulkafli berkata saksi yang mendakwa melihat pemandu lori cuba mengelak sebuah kenderaan di lokasi kejadian belum tampil bagi membantu siasatan.
“Sekiranya ada, pihak polis akan menerusan siasatan susulan bagi tujuan perbicaraan,” katanya.
Setakat ini seramai 16 saksi dipanggil untuk diambil keterangan.
Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat melawat dan menyantuni anggota FRU yang dirawat di HTI akibat kemalangan pada Selasa lepas.