Persaingan sengit tanda PKR semakin popular, kata naib presiden

Persaingan sengit tanda PKR semakin popular, kata naib presiden

Chang Lih Kang kata pertandingan antara Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar untuk jawatan timbalan presiden mencerminkan kedinamikan parti.

Chang Lih Kang
Menteri Chang Lih Kang salah seorang daripada 11 yang menyasarkan jawatan naib presiden pada pemilihan PKR Jumaat depan.
PETALING JAYA:
Persaingan sengit pada pemilihan PKR petanda populariti parti semakin meningkat, menurut seorang pemimpin, ketika dua ‘heavyweight’ bertembung untuk menjadi timbalan presiden manakala 11 lagi menyasarkan jawatan naib presiden.

Chang Lih Kang menyahkan kebimbangan bahawa perebutan jawatan nombor dua akan memecahbelahkan PRK, sebaliknya mencerminkan kedinamikan parti.

“Semua orang mahu menyumbang,” kata Chang kepada FMT dalam temu bual eksklusif.

Naib Presiden Nurul Izzah Anwar mencabar penyandang Rafizi Ramli untuk jawatan timbalan presiden pada pemilihan yang dijadualkan pada 23 Mei.

Chang antara 11 calon yang mengintai empat slot naib presiden pada pemilihan tiga tahun sekali itu.

Pengerusi PKR Selangor Amirudin Shari (juga menteri besar Selangor), Pengerusi PKR Negeri Sembilan Aminuddin Harun (menteri besar Negeri Sembilan), dan Nik Nazmi Nik Ahmad (menteri sumber asli dan kelestarian alam sekitar) mahu kekal sebagai naib presiden untuk tiga tahun lagi.

Turut mahu dipilih Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru), R Ramanan (timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi), R Yuneswaran (Ahli Parlimen Segamat), Timbalan Setiausaha Agung Dr N Sathia Prakash, Abun Sui Anyit (senator), Hee Loy Sian (bekas ahli exco Selangor), dan bekas naib presiden Mustaffa Kamil Ayub.

Chang berkata parti itu telah melangkah jauh sejak PRU11 pada 2004, apabila Abdullah Ahmad Badawi mengetuai Barisan Nasional untuk meraih kemenangan besar.

PKR, yang ditubuhkan setahun lebih awal, hanya memenangi satu daripada 34 kerusi Parlimen yang ditandinginya — Permatang Pauh, ihsan Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Chang berkata parti itu berada pada tahap paling rendah pada masa itu, tidak dapat memikat penyokong dan bergelut untuk meyakinkan ahli supaya bertanding sebagai calon.

“Malah ada ahli yang enggan dinamakan sebagai ketua kampung,” katanya.

Walaupun begitu, Chang berkata beliau tidak patah semangat.

“Kami perlu meyakinkan diri sendiri bahawa kita melakukan perkara yang betul, dan orang ramai akan menyedarinya suatu hari nanti.”

Pada PRU12 empat tahun kemudian, BN akan kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen, serta Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Perak dan Kelantan kepada pembangkang ketika itu — terdiri daripada PKR, DAP dan PAS.

Bagi Chang, hakikat bahawa ramai ahli kini sudi bertanding pilihan raya akan datang adalah perkembangan positif untuk parti, walaupun ia juga mungkin membuka pintu parti kepada oportunis.

“Kita perlu melindungi parti daripada individu sedemikian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.