Jurulatih tarian dianugerah RM400,000 dalam saman kecuaian perubatan

Jurulatih tarian dianugerah RM400,000 dalam saman kecuaian perubatan

Mahkamah Tinggi menganugerahkan ganti rugi itu selepas kerajaan mengaku bertanggungjawab dalam saman difail pada 2021.

Wanita 48 tahun kemuka saman terhadap kerajaan, Hospital Sultan Ismail dan lima doktor terlibat dalam pembedahan terhadapnya pada 24 Dis 2018. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan kerajaan membayar kira-kira RM400,000 sebagai ganti rugi kepada seorang jurulatih tarian selepas memihak kepadanya dalam kes saman kecuaian perubatan.

Jumlah pampasan itu diputuskan mahkamah susulan penilaian ganti rugi Selasa lalu.

Kes itu berpunca daripada pembedahan enam tahun lalu yang menyebabkan kedua-dua ovari dan tiub fallopio wanita itu dibuang.

Hakim Shamsulbahri Ibrahim menganugerahkan jumlah keseluruhan RM400,815.45, termasuk RM300,000 bagi kesakitan dan penderitaan.

Wanita berusia 48 tahun itu juga berjaya menuntut RM35,000 bagi kehilangan pendapatan selama 21 bulan, bayaran balik RM9,652.50 untuk kos rawatan di India, serta kos perjalanan dan penginapan berkaitan.

Saman difailkan pada 2021 itu menamakan kerajaan, pengarah Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru, serta lima doktor yang terlibat dalam pembedahan pada 24 Dis 2018.

Kerajaan mengakui bertanggungjawab, dengan mahkamah hanya menilai jumlah ganti rugi.

Wanita itu dimasukkan ke hospital bagi menjalani pembedahan histerektomi abdomen dengan salpingo-ooforektomi bilateral.

Selepas pembedahan, dia mendapati terdapat darah dalam air kencingnya, mengalami sakit perut dan kesukaran bernafas, serta memerlukan pemindahan darah disyaki akibat kecederaan pada pundi kencing.

Wanita itu kemudian menjalani satu lagi pembedahan pada 31 Dis 2018 dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan bagi merawat pendarahan dalaman.

Walaupun dibenarkan keluar, dia terus mengalami masalah inkontinens urin, kebocoran cecair faraj, dan komplikasi lain selama beberapa minggu.

Wanita itu dijadualkan dirujuk ke Jabatan Urologi di Hospital Sultanah Aminah.

Pada 18 Feb 2019, dia mendapatkan pandangan kedua di sebuah hospital di Chennai, India, yang mendapati terdapat koyakan pada pundi kencing sehingga ke faraj, menunjukkan kewujudan ‘fistula vesikovagina’ (VVF).

Dia kemudian menyerahkan keputusan pemeriksaan itu kepada Hospital Sultan Ismail.

Selepas rawatan konservatif gagal selama beberapa bulan, dia dinasihatkan menjalani pembedahan pembetulan pada September 2019. Namun, kebocoran faraj dan VVF berulang.

Dia kemudian dimaklumkan bahawa pembedahan lanjut diperlukan pada masa depan.

Wanita itu akhirnya menjalani rawatan dan pembedahan lanjut di Chennai, yang menyelesaikan masalah kesihatannya.

Dia diwakili peguam R Jayabalan dan Christopher Tan, manakala kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Barath Manian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.