
Beliau berkata, walaupun menteri silih berganti terutama selepas PRU, sektor pendidikan tidak boleh dilihat untuk tempoh beberapa tahun sahaja, tetapi ia perlu hingga 50 tahun ke hadapan.
“Tetapi, janganlah setiap lima tahun PRU apabila berganti menteri, sistem turut diganti, ganti silibus dan ganti kaedah.
“Jangan jadikan guru dan pelajar sebagai bahan uji kaji…kalau boleh sistem itu mesti kekal panjang hingga 50 tahun,” katanya menurut Berita Harian sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Kuching.
Hari sama ialah Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, serta Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Roland Sagah Wee Inn.
Zahid berkata, sistem pendidikan negara bermatlamat melahirkan insan berkualiti, dan seharusnya sistem sedia ada dilaksanakan teratur sehingga mencapai keberkesanan.
“Janganlah mewujudkan legasi untuk kepentingan peribadi yang akhirnya guru dan murid dimangsakan.”
Sementara itu, timbalan perdana menteri memuji langkah Kementerian Pendidikan melantik seramai 1,470 personel MyPg, iaitu pembantu guru tahun ini.
Beliau berkata, pelantikan pembantu guru itu akan memberi lebih ruang untuk guru memfokus tugas hakiki dalam pelaksanaan pedagogi bagi mencapai kualiti pendidikan yang tinggi.
“Ini kerana beban lain yang terpaksa ditanggung guru selama ini akan diambil alih oleh pembantunya,” katanya.