Cuepacs cadang 3 alternatif bayaran pencen penjawat awam

Cuepacs cadang 3 alternatif bayaran pencen penjawat awam

Antaranya mereka dibenarkan menerima bayaran secara bulanan, sekali gus dan skim hibrid yang menggabungkan kedua-dua bentuk bayaran.

penjawat awam
Kerajaan dijangka mengekalkan kaedah pembayaran sedia ada iaitu secara bulanan kepada pesara awam, antaranya bertujuan mengelakkan pesara ditipu dan simpanan hari tua.
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan tiga alternatif untuk kerajaan membayar pencen kepada penjawat awam di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Presidennya Adnan Mat berkata kerajaan boleh memberi pilihan sama ada untuk menerima bayaran secara bulanan atau sekali gus, tertakluk syarat dan kelayakan bagi menjamin perlindungan jangka panjang.

“Pada masa sama juga kerajaan mewujudkan skim hibrid yang menggabungkan kedua-dua bentuk bayaran, di mana sebahagian kecil bayaran boleh dikeluarkan sekaligus manakala selebihnya dibayar secara bulanan,” katanya dalam kenyataan.

Adnan berkata, pihaknya menyambut baik pendekatan sistem SSPA baharu yang mengekalkan kaedah pembayaran secara bulanan memandangkan ia lebih berstruktur, selamat dan dapat mencegah risiko kehabisan simpanan persaraan dalam tempoh singkat.

“Pembayaran secara bulanan seperti pencen adalah satu bentuk perlindungan kewangan jangka panjang yang mampu menjamin kelangsungan hidup pesara dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan kos sara hidup yang terus meningkat.

“Namun kami juga memahami ada sebahagian pandangan daripada penjawat awam yang lebih cenderung menerima bayaran sekali gus seperti dalam skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga harus memastikan kadar caruman kerajaan mencukupi untuk menampung keperluan asas pesara supaya ia tidak jauh berbeza daripada nilai pencen semasa.

“Cuepacs akan terus terlibat secara aktif dalam sesi libat urus bersama kerajaan bagi memastikan sebarang pelaksanaan skim baharu ini mengambil kira pandangan penjawat awam dan memberi manfaat jangka panjang kepada semua pihak,” katanya.

Terdahulu, Persatuan Pesara Kerajaan dan Swasta (Pejasama) menuntut kerajaan supaya memberi pilihan dalam pembayaran pencen secara bulanan atau pengeluaran secara sekali gus.

Katanya, ia perlu memandangkan ada dalam mereka yang berkeinginan membeli sesuatu keperluan dengan jumlah yang besar selepas tamat perkhidmatan.

Kelmarin, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata kerajaan dijangka mengekalkan kaedah pembayaran sedia ada iaitu secara bulanan kepada pesara yang antaranya bertujuan mengelakkan pesara ditipu dan simpanan hari tua.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.