2 penjenayah babit lebih 70 kes samun ditembak mati

2 penjenayah babit lebih 70 kes samun ditembak mati

Polis berkata suspek berusia 29 tahun memiliki 11 rekod jenayah, manakala seorang lagi mempunyai 76 rekod membabitkan keganasan dan dadah.

penjenayah ditembak
Pasukan forensik berada di lokasi kejadian selepas dua penjenayah ditembak mati dekat kawasan parkir sebuah kondominium di Bandar Baru Nilai malam tadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua penjenayah dipercayai terbabit lebih 70 kes samun ditembak mati dekat kawasan parkir sebuah kondominium di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, malam tadi.

Dua lelaki tempatan itu dikejar di sekitar Nilai sebelum dipintas polis di kawasan terbabit dan kejadian berbalas tembakan menyusul kira-kira 10 malam tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Fadil Marsus, berkata suspek berusia 29 tahun memiliki 11 rekod jenayah, manakala lelaki berusia 40 tahun mempunyai 76 rekod membabitkan keganasan dan dadah.

“Kumpulan ini aktif menyamun rumah, premis tempat pengumpulan barang syarikat penghantaran dan kedai serbaneka di sekitar Negeri Sembilan, Selangor, Perak serta Kuala Lumpur,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata dua senjata api digunakan suspek ditemui dan tidak menolak kemungkinan suspek terbabit kumpulan kongsi gelap berdasarkan penggunaan senjata api.

Menurutnya, tembakan dilepaskan merosakkan kenderaan polis, tetapi tiada anggota yang cedera.

Fadil berkata, pihaknya akan memburu suspek lain dan membuat beberapa serbuan serta rampasan berkaitan kumpulan penjenayah itu.

“Lokasi tembakan juga dipercayai lokasi persinggahan kumpulan ini. Kita akan mengenal pasti beberapa lokasi lain yang dijadikan tempat tinggal suspek.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.