
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz, berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuannya dengan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer ketika menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Bertanggungjawab Mengenai Perdagangan (MRT) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) ke-31 di Jeju, Korea Selatan.
Delegasi Malaysia akan meneruskan rundingan di Washington pada pada 28 hingga 30 Mei ini yang akan diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Mastura Ahmad Mustafa, manakala Tengku Zafrul dijadualkan ke AS untuk perbincangan lanjut Jun ini.
“Setakat ini, kita difahamkan dalam perbincangan antara ketua perunding kedua-dua pihak nampaknya berjalan lancar.
“Kita dah tandatangan perjanjian kerahsiaan (NDA) dan tidak boleh bincang butiran (rundingan), tetapi isunya selalu berkaitan sektor penting untuk negara kita,” katanya kepada Bernama.
Tengku Zafrul berkata, antara sektor utama dibincangkan ialah semikonduktor yang bukan hanya penting untuk Malaysia, tetapi turut saling melengkapi keperluan industri di AS.
Menurutnya, perbincangan dengan AS turut menyentuh aspek memperkukuh kerjasama ekonomi dalam kalangan negara anggota Apec.
Malaysia turut menghadiri Mesyuarat Caucus Asean membabitkan tujuh negara anggota Apec bagi menyelaras pendirian serantau berkaitan isu perdagangan dan kerjasama ekonomi dalam forum itu.