Rumah Putih jangka perjanjian TikTok dimeterai ‘dalam beberapa hari’

Rumah Putih jangka perjanjian TikTok dimeterai ‘dalam beberapa hari’

Jurucakap Rumah Putih Karoline Leavitt berkata di bawah perjanjian itu, TikTok akan 'dimiliki majoriti rakyat Amerika'.

Syarikat induk TikTok, ByteDance berdepan ketidaktentuan sejak berbulan lamanya berhubung operasi aplikasinya di AS yang mempunyai kira-kira 170 juta pengguna. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Rumah Putih berkata perjanjian mengenai operasi TikTok di Amerika Syarikat (AS) dijangka ditandatangani dalam beberapa hari lagi, lapor agensi berita Jerman.

Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt, memberitahu penyiar AS Fox pada Ahad, butiran mengenai masa depan TikTok di AS “telah pun dipersetujui”.

“Sekarang kita hanya perlu menandatangani perjanjian ini dan saya menjangkakan ia akan berlaku dalam beberapa hari akan datang,” katanya.

Syarikat induk TikTok, ByteDance yang berpangkalan di Beijing berdepan ketidaktentuan sejak berbulan lamanya berhubung operasi aplikasinya di AS yang mempunyai kira-kira 170 juta pengguna.

Pegawai AS menyuarakan kebimbangan kerajaan China boleh mengakses sejumlah besar data peribadi serta menggunakan platform itu bagi mempengaruhi politik.

TikTok dan ByteDance bagaimanapun menolak dakwaan itu.

Leavitt berkata, di bawah perjanjian itu, TikTok akan “dimiliki majoriti rakyat Amerika di AS”.

“Akan ada tujuh kerusi lembaga yang mengawal aplikasi itu di AS dan enam daripadanya dipegang rakyat Amerika.

“Data dan privasi akan dikendalikan antara syarikat teknologi terbesar AS, Oracle dan algoritma juga akan dikawal pihak AS.”

Di bawah undang-undang yang diluluskan tahun lalu, perniagaan TikTok di AS sepatutnya dijual ByteDance atau ditutup pada 19 Jan lalu.

Trump bagaimanapun memberi lanjutan tarikh pelaksanaan berulang kali, selepas mengambil alih jawatan pada Januari lalu, meskipun tiada asas undang-undang untuk berbuat demikian.

Di AS, ByteDance – dan sekali gus TikTok – dilihat sebagai syarikat China. Namun, ByteDance menegaskan ia dimiliki 60% pelabur antarabangsa dan berpangkalan di Kepulauan Cayman.

Akhbar Wall Street Journal sebelum ini melaporkan pelabur AS, termasuk Oracle – yang dimiliki penyokong Trump, Larry Ellison – serta firma pelaburan Silver Lake dan Andreessen Horowitz dijangka memegang 80% kepentingan dalam subsidiari baharu TikTok di AS, manakala baki 20% dipegang pemegang saham China.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.