Nahas FRU: Tarik lesen pemandu, syarikat cuai, titah Sultan Selangor

Nahas FRU: Tarik lesen pemandu, syarikat cuai, titah Sultan Selangor

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah ia bagi memberi pengajaran kepada pemandu lain agar lebih berhati-hati dan memberi tumpuan ketika memandu.

Keadaan di lokasi nahas trak FRU dan lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam Selasa lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah kerajaan perlu memberi perhatian serius dan mengambil tindakan segera lebih tegas terhadap jumlah kes kemalangan kian meningkat, khasnya membabitkan kenderaan berat.

“Sekiranya didapati bersalah dan menjadi punca dalam kemalangan maut atau menyebabkan kecederaan parah, pemandu dan syarikat terlibat bukan sahaja perlu didenda atau dipenjara, malah lesen memandu mereka wajar ditarik balik.

“Ini bagi memberi pengajaran kepada pemandu lain agar lebih berhati-hati dan memberi tumpuan yang tidak berbelah bahagi ketika memandu,” titah baginda dalam catatan Facebook Selangor Royal Office.

Baginda dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan takziah kepada keluarga sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terkorban dalam nahas di Teluk Intan kelmarin.

Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dan dukacita dengan tragedi menyayat hati menimpa semua mangsa.

Dalam nahas pagi Selasa lalu, sembilan anggota FRU maut, manakala sembilan lagi cedera selepas trak dinaiki mereka dilanggar sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan.

Sultan Sharafuddin menggesa syarikat pengendali perkhidmatan lori, bas dan kenderaan berat membuat penilaian ketat dalam memilih pemandu dan kelindan.

Baginda turut mengingatkan semua pihak terbabit tidak memandang ringan perkara yang boleh membawa kepada kecuaian seperti keadaan kenderaan serta kelayakan pemandu.

“Baginda berharap dan berdoa tidak akan berlaku lagi tragedi kemalangan sebegini, apatah lagi yang membabitkan kehilangan nyawa insan tidak berdosa, khususnya mereka yang sedang berkhidmat untuk keamanan negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.