
Peguam Rosmah, Jagjit Singh, berkata Rosmah memfailkan permohonan untuk menggugurkan hakim itu, sambil mendakwa anak guamnya hilang keyakinan terhadap sifat tidak memihak hakim kerana timbul ‘bahaya sebenar berlakunya berat sebelah’.
Katanya, hakim tersebut pada asalnya dijadual menyampaikan alasan penghakiman pada 7 Julai 2022, namun menangguhkannya kepada 1 Sept kerana penghakiman bertulis belum tersedia.
“Namun, pihak pembela telah melihat dua draf penghakiman yang disediakan pada Jun dan Julai atas arahan hakim kepada unit penyelidikan,” kata Jagjit kepada mahkamah semasa rayuan pengguguran hakim.
Jagjit, dibantu peguam Akberdin Abdul Kader, berkata draf alasan penghakiman sebanyak 71 muka surat telah tular di media sosial.
“Perayu terkejut apabila membaca bahawa penulis draf tidak diketahui itu telah membuat kesimpulan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah atau menolak anggapan berlakunya rasuah,” katanya.
Beliau menambah bahawa ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan, pada sidang media bertarikh 27 Ogos 2022, tidak menafikan kewujudan atau konteks draf alasan penghakiman.
Tetapi, pihak pendakwaan mendakwa draf berkenaan hanyalah pandangan.
“Apa jua label digunakan, draf tersebut menjadi satu penemuan anak guam saya bersalah seperti dituduh,” kata Jagjit.
Beliau juga berhujah tindakan hakim telah melanggar Kod Etika Hakim.
Jagjit berkata, Rosmah telah mengemukakan aduan kepada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, namun dinasihat membangkitkan isu ketika proses rayuan.
“Berdasarkan kepada dokumen keterangan, terdapat kesimpulan yang tidak dapat dielakkan mengenai bahaya sebenar berlakunya berat sebelah dalam mensabitkan perayu,” katanya ketika berhujah di hadapan panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim. Panel itu turut dianggotai Hakim Azman Abdullah dan Hakim Noorin Badaruddin.
Timbalan Pendakwa Raya K Mangai dan P Sarulatha mewakili pihak pendakwaan.
Pendengaran ditangguh ke 25 Jun. Rosmah memohon sabitan dikenakan terhadapnya diketepi dan mahu kes dibicarakan semula.
Pada 1 Sept 2022, Hakim Zaini Mazlan, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menolak permohonan saat-saat akhir Rosmah untuk menghentikannya meneruskan prosiding ke atasnya.
Rosmah memohon Zaini disingkirkan susulan draf alasan penghakiman beliau yang didakwa telah diterbitkan penulis blog, Allahyarham Raja Petra Kamarudin.
Katanya, hakim tersebut tidak patut mempengerusikan kes dihadapi memandangkan beliau hilang keyakinan terhadap Zaini.
Namun, Zaini menolak permohonan berkenaan dan mensabitkan Rosmah atas kesalahan mendapatkan RM187.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, melalui bekas pembantunya, Rizal Mansor, sebagai dorongan membantu syarikat itu mendapatkan projek solar.
Beliau juga didapati bersalah menerima rasuah RM5 juta daripada Saidi, menerusi Rizal, di Seri Perdana di Putrajaya pada 20 Dis 2016, dan menerima RM1.5 juta daripada Saidi, di Jalan Langgak Duta, pada 7 Sept 2017.
Zaini memerintahkan Rosmah menjalani 10 tahun penjara bagi setiap tiga pertuduhan, tetapi mengarahkan ia berjalan secara serentak. Hakim turut memerintahkan Rosmah membayar denda RM970 juta.
Mahkamah mengarahkan Rosmah menjalani pemenjaraan 10 tahun lagi jika gagal membayar denda.
Zaini membenarkan Rosmah diikat jamin sementara menunggu keputusan rayuannya.