Remaja 15 tahun mengaku memandu bahaya, sebabkan 5 kematian

Remaja 15 tahun mengaku memandu bahaya, sebabkan 5 kematian

Bapa remaja itu turut didenda RM15,000 selepas mengaku salah benar anak memandu kenderaan tanpa pengawasan.

kuching
Mahkamah Majistret Kuching menetapkan 17 Jun untuk sebutan semula kes selepas menerima laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan membenarkan remaja itu diikat jamin RM5,000. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuching atas tuduhan memandu bawah umur dan secara bahaya hingga menyebabkan kematian lima individu dalam kemalangan di Jalan Stutong Baru pada Jan lalu.

Remaja berusia 15 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan, lapor Bernama.

Bagi tuduhan pertama, remaja itu didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya hingga menyebabkan kematian, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

Remaja itu juga didakwa mengikut Seksyen 39(1) akta sama kerana memandu semasa berumur kurang daripada 16 tahun. Sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 17 Jun depan untuk sebutan semula kes selepas menerima laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan membenarkan remaja itu diikat jamin RM5,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fillanny Siji manakala remaja itu tidak diwakili peguam.

Di Mahkamah Majistret berasingan, bapa remaja itu berusia 35 tahun, mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membenarkan anaknya memandu tanpa pengawasan.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Kuching Noraini Ahmad kemudian menjatuhkan hukuman denda RM15,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

Tertuduh juga diarah menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan selama 100 jam dalam tempoh enam bulan.

Dalam kemalangan pada 14 Jan lepas, kereta dipandu remaja berkenaan dilaporkan hilang kawalan dan merempuh dua kenderaan serta dua motosikal menyebabkan lima mangsa maut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.