Nahas FRU: Pemandu lori direman 4 hari

Nahas FRU: Pemandu lori direman 4 hari

Semalam, sembilan anggota FRU maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan dengan lori di Kilometer 15 Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam.

Pemandu lori berusia 45 tahun yang terlibat dalam kemalangan semalam diiringi anggota polis selepas direman empat hari bermula hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemandu lori terlibat dalam kemalangan mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Kilometer 15 Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam di sini, semalam direman selama empat hari bermula hari ini.

Perintah reman hingga Sabtu terhadap suspek berusia 45 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Naidatul Athirah Azman selepas membenarkan permohonan dibuat oleh Ketua Polis Hilir Perak Bakri Zainal Abidin, lapor Berita Harian.

Reman itu bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Terdahulu, suspek dibawa ke mahkamah pada kira-kira jam 8.50 pagi dengan berpakaian kemeja hitam dan seluar trek.

Dalam pada itu, Bakri berkata beliau hadir sendiri ke mahkamah bagi menunjukkan pihaknya begitu serius dalam menyiasat tragedi berkenaan.

“Kita akan meneruskan siasatan melihat dari sudut aspek kecuaian manusia, isu-isu teknikal dan juga isu persekitaran yang boleh membantu siasatan.

“Daripada media sosial, saya telah memantau ramai saksi awam sebenarnya yang melihat kejadian sebelum dan semasa kejadian.

“Jadi, saya meminta masyarakat, khasnya masyarakat Hilir Perak untuk membantu, menyalurkan maklumat yang boleh membantu siasatan kita.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian juga diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 017-8211326 atau ke IPD Hilir Perak,” katanya.

Media semalam melaporkan, sembilan anggota FRU maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori muatan pasir dengan kenderaan FRU kira-kira 8.50 pagi.

Lapan lagi anggota FRU kini menerima rawatan di Hospital Teluk Intan, manakala seorang lagi dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay sebelum ini mengesahkan pemandu lori itu mempunyai rekod jenayah, termasuk sabitan merogol.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.