
Menteri Besar Shukri Ramli berkata keputusan tersebut berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis mengenai rokok elektronik pada 2022.
“Mana-mana peniaga vape kena siap sedia untuk cari perniagaan baharu, lesen dan operasi perniagaan mereka akan dihentikan,” katanya lapor Bernama, pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Kompleks DUN.
Meskipun tidak dapat mengekang penggunaan vape sepenuhnya, Shukri optimis dengan tindakan ini untuk menyelamatkan anak-anak muda daripada terjebak dengan pengambilan vape.
Pihak berkuasa tempatan akan melakukan operasi pemantauan dan penguatkuasaan terhadap premis perniagaan yang menjual vape selepas 1 Ogos.
Perkembangan ini menyusuli saranan polis pada 17 Apr lalu, agar kerajaan negeri mengenakan larangan tertentu berkenaan penjualan rokok elektronik kerana kes penyalahgunaan dadah sintetik menggunakan rokok elektronik semakin membimbangkan.
Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay juga dilapor berkata Perlis mencatatkan kes penyalahgunaan dadah yang tinggi, dengan 965 kes dalam setiap 100,000 penduduk.