Anwar, Putin akan bincang kerjasama, isu serantau

Anwar, Putin akan bincang kerjasama, isu serantau

Kedua-dua pemimpin kali terakhir bertemu pada September 2024 di luar Forum Ekonomi Timur di Vladivostok.

anwar ibrahim vladimir putin
Anwar Ibrahim dan Vladimir Putin akan membincangkan bidang utama kerjasama dua hala khususnya dalam politik, perdagangan dan ekonomi. (Gambar Bernama)
MOSCOW:
Presiden Rusia Vladimir Putin dijadual mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini, lapor agensi berita TASS.

Menurut perkhidmatan akhbar Kremlin, kedua-dua pemimpin akan membincangkan bidang utama kerjasama dua hala, khususnya dalam politik, perdagangan dan ekonomi. Mereka turut dijangka merangka langkah seterusnya untuk memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.

Putin dan Anwar juga akan bertukar pandangan mengenai perkembangan antarabangsa dan serantau yang mendesak.

Kedua-dua pemimpin kali terakhir bertemu pada September 2024 di luar Forum Ekonomi Timur (EEF) di Vladivostok.

Rusia dan Malaysia berkongsi pendirian serupa dalam pelbagai isu serantau dan global.

Kedua-dua negara aktif bekerjasama menerusi platform seperti Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Malaysia secara rasmi menjadi negara rakan BRICS pada Januari 2025.

Ketika ini, Rusia dan Malaysia memeterai 20 perjanjian kerjasama.

Menurut Duta Besar Rusia ke Malaysia Nail Latypov, jumlah dagangan dua hala mencecah kira-kira USD2.5 bilion pada akhir 2024.

Eksport utama Rusia ke Malaysia merangkumi mineral mentah, minyak dan produk kimia, manakala eksport Malaysia ke Rusia termasuk getah, jentera dan barangan pertanian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.