
Beliau membangkitkan keengganan Azam menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) untuk menyoalnya berhubung urusan jual beli saham dikatakan dimilikinya pada Januari 2022.
Gomez yang meninggalkan panel SPRM pada 2021 kerana gagal membincangkan laporan membabitkan pemimpin tertinggi agensi antirasuah itu berkata, semakin banyak wacana awam berhubung pendakwaan terpilih dan memberi amaran persepsi sedemikian boleh menjejaskan kepercayaan terhadap SPRM.
“Bukan saya yang cakap. Ia datang daripada orang lain. Tetapi hakikat dakwaan ini muncul ialah tanda amaran,” katanya selepas pelancaran bukunya “Misgovernance: Grand Corruption In Malaysia” di sini.
“Jika SPRM benar-benar bebas, tidak akan timbul persoalan berhubung pendakwaan terpilih.
“Jika mahu cakap-cakap berhubung pendakwaan terpilih ini hilang, beri kami ketua SPRM yang diketahui bebas…dan dipilih secara berhati-hati melalui proses terbuka serta telus.”
Jumaat lalu, Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar mengumumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan pelantikan semula Azam selama setahun berkuat kuasa semalam.
Azam, yang ketika itu timbalan ketua pesuruhjaya SPRM, dilantik menerajui agensi antirasuah itu pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Koya yang meletak jawatan susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Kontraknya kemudian disambung dua kali. Beliau diberikan lanjutan setahun pada 10 Mei 2023 dan setahun lagi tahun lalu.
Pada akhir 2021, Azam menjadi perhatian media susulan dakwaan pemilikan saham dan waran. Beliau menafikan sebarang salah laku, walaupun beberapa kumpulan pemantau serta pemimpin PH menggesa siasatan ke atasnya.
Pada Januari 2022, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah mengumumkan ia berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa beliau tiada sebarang kepentingan dalam pemilikan saham didakwa miliknya kerana akaunnya digunakan adiknya, Nasir untuk membeli saham itu.